Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gerakan Tanah Air hantar pendaftaran rasmi kepada RoS - Mukhriz

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), pada Selasa (6 Sep).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan ini empat parti dalam gabungan GTA itu akan menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Beliau berharap RoS akan meluluskan penubuhan itu dengan segera seperti mana hak berpersatuan yang dijamin dalam Perlembagaan.

"Ini gabungan empat parti di mana senang sikit bila kerja sebab ada gabungan. Masing-masing ada kekuatan untuk bertanding (PRU15). Kalau bertanding nanti, inilah lambang kita," katanya seperti dinukil Astro AWANI.

Encik Mukhriz menjelaskan bahawa gabungan itu bukan setakat sebagai satu pergerakan bahkan ia merupakan satu bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRU15.

"Walaupun namanya pergerakan, kita dah ada logo, maksudnya nak menyertai PRU menggunakan logo sama," tambahnya, seperti dilaporkan Astro AWANI.

Sebelum ini, dalam satu sidang media, pengerusi penaja gabungan itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan jawatankuasa tambahan bagi GTA.

Antara yang dilantik ialah Mohamed Ismail (IMAN) sebagai bendahari dan Nizam Mahshar sebagai Ketua Penerangan.

Turut dilantik ialah Che Asmah Ibrahim dari Pejuang sebagai Sayap Wanita; Nasrul Ali Hassan Abdul Latif dari Putra sebagai Sayap Pemuda serta Azliza Rajain sebagai Sayap Pemudi mewakili Berjasa.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Mohammed Mosin Abdul Razak.

GTA merupakan satu gagasan baru disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan