Skip to main content

Dunia

Gerakan 'lipas' di India ikrar tunjuk perasaan hingga menteri pendidikan letak jawatan

Anggaran Waktu Membaca:
  Gerakan 'lipas' di India ikrar tunjuk perasaan hingga menteri pendidikan letak jawatan

Penunjuk perasaan bergelut dengan polis sedang penyokong gerakan Lipas Janta menunjuk perasaan menuntut Menteri Pendidikan meletak jawatan di New Delhi, India, 20 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Anushree Fadnavis)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 04:44PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 05:04PM
NEW DELHI: Gerakan "lipas" yang dipimpin oleh golongan muda di India menyatakan pada Selasa (21 Jul) bahawa mereka akan meneruskan tunjuk perasaan terhadap pemerintah, tetapi tidak akan berarak lagi. Ini berlaku sehari selepas ramai penyokong cedera dalam pertempuran dengan pihak polis yang cuba menghalang perarakan mereka ke parlimen.

Polis Delhi berkata hampir 180 orang, termasuk 118 anggota keselamatan dan polis serta 60 penunjuk perasaan, cedera pada Isnin (20 Jul) apabila mereka bertempur di pusat bandar Delhi.

Pengasas Parti Lipas Janta berkata lebih 150 penunjuk perasaan sedang menerima rawatan di hospital.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah mangsa yang cedera dalam pertempuran pada Isnin, di mana pihak polis memukul penunjuk perasaan dengan belantan dan melepaskan gas pemedih mata untuk memaksa mereka berundur.

Ribuan penunjuk perasaan dari Delhi serta bandar dan pekan berhampiran telah berkumpul untuk berarak ke parlimen. Mereka menyertai gerakan yang bermula sebagai sindiran online, namun kini berkembang menjadi cabaran terbesar buat Perdana Menteri Narendra Modi dalam penggal ketiganya.
Related article image
Polis menahan seorang penyokong Parti Lipas Janta ketika mereka cuba berarak ke Parlimen India untuk menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan, di New Delhi, India, pada 20 Jul2026. (Gambar: AP/Manish Swarup)
Gerakan oleh CJP yang berlangsung selama beberapa bulan ini mendapat sokongan jutaan anak muda Gen Z India. Mereka menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan Dharmendra Pradhan berikutan kebocoran kertas peperiksaan yang menjejaskan lebih 2 juta pelajar pada bulan Mei.

Mereka menyatakan bahawa kebocoran kertas ujian bagi kemasukan ke fakulti perubatan peringkat kebangsaan pada Mei lalu - yang memaksa pelajar menduduki semula ujian dan menyebabkan ada yang mengambil nyawa sendiri - adalah tanda amalan rasuah yang berakar umbi dalam bidang pendidikan.

Tujuh puluh penunjuk perasaan ditahan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka, menurut pihak polis dalam satu kenyataan lewat Isnin (20 Jul).

Hampir 500 penunjuk perasaan berkumpul di tapak bantahan Jantar Mantar di pusat bandar Delhi pada Selasa, sambil melaungkan slogan di tengah-tengah hujan renyai-renyai. Kawalan keselamatan kekal ketat dengan anggota separa tentera meronda di sesetengah kawasan dan penghadang jalan melengahkan aliran trafik.

PEMIMPIN GERAKAN MOHON MAAF

Pengasas CJP, Abhijeet Dipke, berkata perarakan ke parlimen dibatalkan kerana kumpulan itu tidak mahu lebih ramai anak muda cedera. Beliau turut memohon maaf kepada para penyokong, terutamanya wanita, yang menurutnya dipukul oleh pegawai polis lelaki.

"Kami tidak akan berarak lagi kerana pihak polis akan mencederakan anak muda lain," katanya dalam satu sidang media.

Polis Delhi berkata para penunjuk perasaan "menunjukkan tingkah laku yang tidak terkawal, agresif dan ganas" serta "segera melanggar perintah larangan yang berkuat kuasa", walaupun amaran telah dikeluarkan pada Isnin.

Gerakan ini semakin berleluasa selepas mendapat sokongan aktivis Sonam Wangchuk, yang memulakan mogok lapar pada 28 Jun, namun dipindahkan secara paksa ke hospital oleh pihak berkuasa pada Sabtu.

"Mereka memukul kami sehingga lebam-lebam dan merosakkan tapak tunjuk perasaan kami," kata Sahil Singh, seorang penunjuk perasaan dari wilayah utara Uttar Pradesh, kepada Reuters. "Kami mahu diwujudkan kebertanggungjawaban menerusi peletakan jawatan Pradhan."

CJP menyatakan Menteri Kesihatan JP Nadda meminta masa untuk membincangkan tuntutan mereka di peringkat pemerintah selepas pertemuan dengan dua orang pemimpin gerakan itu pada Isnin.

Tuntutan tersebut termasuk pembebasan Wangchuk, peletakan jawatan Pradhan, dan ganti rugi sebanyak 10 juta rupee (S$133,994) untuk setiap keluarga pelajar yang membunuh diri berikutan kebocoran kertas ujian itu.

"Saya berfikir apabila perbincangan sedang berjalan ke arah yang betul, suasana ini tidak sepatutnya dicemari," kata Menteri Hal Ehwal Parlimen Kiren Rijiju pada Selasa (21 Jul) selepas Encik Modi berucap kepada ahli parlimen daripada Parti Bharatiya Janata pimpinan beliau.

Peningkatan mendadak populariti CJP mencerminkan kekecewaan dalam kalangan anak muda India, termasuk masalah kekurangan pekerjaan serta kebocoran peperiksaan yang dipercayai kerap berlaku.

Encik Dipke dan penyokongnya memulakan perhimpunan bulan lalu untuk menuntut peletakan jawatan Encik Pradhan. Beberapa pemimpin pembangkang dan pempengaruh media sosial turut menyertai tunjuk perasaan itu pada Isnin.

Para penganalisis berkata, walaupun perbincangan berjaya meredakan tunjuk perasaan buat masa ini, rasa tidak puas hati dalam kalangan anak muda yang kecewa berpotensi menjadi cabaran paling sengit buat pemerintah Encik Modi pada masa hadapan.

"Ini adalah isu yang menjejaskan semua orang… sebarang tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang sebahagian besarnya aman, seperti yang biasa dilakukan oleh pemerintah, hanya akan memarakkan lagi kemarahan," kata Pearl Pandya, penganalisis kanan bagi Asia Pasifik di kumpulan penyelidik pemantauan konflik ACLED.
 
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita