Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gerai makan di M'sia pertimbang naikkan harga atau kurangkan pekerja demi kelangsungan perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Terpaksa menaikkan sedikit harga makanan, malah ada dalam kalangan pengusahanya mengurangkan jumlah tenaga kerja bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Ia antara dilema yang perlu ditempuhi peniaga makanan di Malaysia berikutan harga bekalan bahan mentah tidak menunjukkan tanda penurunan sejak tahun lalu, lapor Harian Metro.

Pengurus sebuah restoran di Sentul, Mohamed Kasim Sulaiman Ali, 30 tahun, berkata, pada hakikatnya, pengusaha sepertinya tidak mahu meningkatkan harga jualan.

Namun, katanya, bekalan barangan mentah seperti ayam, telur, sayur, bawang dan pelbagai lagi semakin meningkat menyebabkan pengusaha kedai makan tersepit.

"Harga juadah sebenarnya tidak boleh naik berterusan. Jika naik harga, pelanggan marah, kami juga yang susah. Lain jika di sesebuah kawasan, hanya ada sebuah kedai makanan ada, mungkin kami boleh naikkan harga.

"Namun, di kebanyakan kawasan penempatan penduduk, ramai yang mengusahakan kedai makan. Jika kami naikkan harga, pelanggan akan ke kedai lain. Kami tidak mahu pelanggan lari, kami berusaha sedaya mungkin untuk menarik pelanggan.

"Namun, mungkin ada pelanggan yang tidak memahami dilema yang kami hadapi akibat peningkatan kos bahan mentah. Kerana itu, kami terpaksa naikkan harga jualan makanan," lapor Harian Metro memetik kata-kata Encik Kasim.

Menurut Encik Kasim, jika dibuat perbandingan harga antara Disember tahun lalu hingga Januari ini, harga bahan mentah semakin meningkat.

Contoh, katanya, pada Disember tahun lalu, sepapan telur dibelinya pada harga RM10.40 (S$3.21) berbanding Januari iaitu RM12.30 (S$3.380), naik RM2.10 (S$0.65).

"Malah, sebelum ini, bekalan telur senang diperoleh, namun kini ada masanya kami langsung tidak memperoleh bekalan telur.

"Bahan masakan seperti sayur dan bawang juga semakin mahal. Bagi seguni bawang, harga sekilogram ialah RM22 (S$6.80) berbanding sebelum ini iaitu antara RM16 (S$4.94)hingga RM17.50 (S$5.41) sekilogram." kata Encik Kassim kepada Harian Metro.
Tambahnya, harga bekalan mentah di pasar basah juga berbeza berbanding sebelum ini.

"Cadangan saya kepada kerajaan, mohon kurangkan harga bekalan barangan mentah makanan. Tolong lakukan kawalan harga barang mentah.

"Kami perlu beli barangan pada harga tinggi, namun terpaksa mengekalkan harga jualan makanan siap," katanya.
Berkaitan cadangan pihak tertentu supaya memboikot peniaga, Encik Kassim berpendapat ia bukan langkah terbaik kerana membeli di kedai adalah paling mudah, terutama bagi mereka yang sibuk bekerja.

Selain kawalan harga, Encik Kassim berkata, kerajaan perlu faham dengan kemampuan pelanggan.

"Jika gaji pekerja meningkat, maka sesuai jika harga makanan meningkat sedikit. Dalam hal ini, ada asas untuk menaikkan gaji pekerja.

"Ramai pelanggan yang mengadu harga makanan mahal, malah tidak mahu berkunjung lagi dan saya terpaksa terangkan berkaitan peningkatan kos bahan mentah dan lain-lain, malah peniaga juga tersepit.

"Namun, saya kasihan juga kepada ramai pelanggan kerana semakin ramai yang menempah roti canai kosong kerana ia murah iaitu RM1.20 (S$0.37) sekeping, begitu juga roti telur iaitu hanya RM2.20 (S$0.68) sekeping," katanya.

Kata Encik Kassim, untuk mengurangkan kos operasi, beliau terpaksa memberhentikan pekerja.

Menurutnya, tahun lalu, restoran diuruskannya memiliki 15 kakitangan, namun tahun ini, hanya tinggal lapan.

"Ia bagi mengurangkan kos operasi seperti gaji, tempat tinggal, permit kerja dan sebagainya yang majikan perlu tanggung.

"Waktu operasi juga dipendekkan. Jika dulu tutup antara pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 2.00 pagi namun kini, kami beroperasi setakat sehingga pukul 11.00 malam saja," katanya.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan