Generasi ke-7 Mahsuri kembali ke Langkawi

(Gambar: Underwater World Langkawi)
LANGKAWI: Kehadiran generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37 tahun, dan anak lelakinya yang juga generasi kelapan di Langkawi mengundang rasa teruja orang ramai.
Wan Aishah atau nama Thailand, Sirintra Yayee atau Nong May bersama suaminya, Alee Tongyon, 39 tahun, dan anak lelaki mereka bercuti di pulau berkenaan selama dua hari mulai Khamis (28 Jul), lapor Harian Metro.
Wan Aishah yang lahir pada 1986 dan menetap di Phuket, Thailand dikatakan menamatkan sumpah tujuh keturunan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi selepas pulau itu mendapat status pulau bebas cukai setahun kemudian.
Video dan gambar percutian tiga beranak itu yang dimuat naik warganet, tempat daya tarikan dan Wan Aishah sendiri, kini tular di media sosial sejak Selasa (2 Ogos).
Antaranya, video sepanjang 23 saat memaparkan keluarga itu mengunjungi sebuah restoran di Pantai Chenang dimuat naik pemilik restoran itu di aplikasi TikTok menggunakan akaun @miorjohan sebelum ia tular.
Ketika dihubungi, Mior Johan Johari, 32 tahun, berkata, beliau mengenali Aishah sejak 2013 dan keturunan ketujuh Mahsuri itu datang semula ke Langkawi untuk bercuti secara senyap-senyap pada Khamis (28 Jul).
"Keluarga mentua saya memang kenal lama dengan keluarga Aishah di Phuket dan mereka (Aishah dan suaminya) sudah banyak kali datang ke Langkawi.
"Cuma kali ini agak istimewa kerana beliau datang bersama suami dan anak lelakinya berusia enam tahun dikenali sebagai Mateen," katanya kepada Harian Metro.
Mior berkata, selain mengunjungi restorannya, Aishah dan keluarga turut mengunjungi beberapa daya tarikan termasuk Underwater World Langkawi, Makam Mahsuri dan menaiki kapal layar melihat matahari terbenam.
Semakan di Facebook mendapati Aishah yang menggunakan akaun Nu May turut memuat naik gambarnya menaiki kapal layar ketika bercuti di pulau berkenaan pada Sabtu (30 Jul).
Sementara itu, daya tarikan popular, Underwater World Langkawi menerusi akaun Facebook rasminya turut memuat naik video selama 17 saat yang memaparkan kehadiran Aishah, suami dan anaknya di pusat pelancongan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.