Skip to main content

Dunia

Gencatan senjata Thailand–Kemboja bertahan selama 72 jam; tiada berita tentang pembebasan tahanan

Satu gencatan senjata yang diperbaharui Thailand dan Kemboja berhubung pertempuran di sempadan kedua-dua negara tersebut melepasi tempoh 72 jam pada Selasa (30 Dis), iaitu sasaran awal yang ditetapkan kedua-dua pihak bagi menjamin keamanan yang lebih berkekalan. Namun, masih belum ada sebarang maklumat mengenai pembebasan 18 askar Kemboja yang ditahan sejak Julai lalu.
Anggaran Waktu Membaca:
Gencatan senjata Thailand–Kemboja bertahan selama 72 jam; tiada berita tentang pembebasan tahanan
Seorang kanak-kanak lelaki memegang bekalan bantuan dalam kalangan penduduk yang sedang menunggu untuk mendapatkan bekalan di kem pelarian Batthkav, Chong Kal, Wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, pada 12 Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kim Hong-Ji)
BANGKOK: Satu gencatan senjata yang diperbaharui Thailand dan Kemboja berhubung pertempuran di sempadan kedua-dua negara tersebut melepasi tempoh 72 jam pada Selasa (30 Dis), iaitu sasaran awal yang ditetapkan kedua-dua pihak bagi menjamin keamanan yang lebih berkekalan. Namun, masih belum ada sebarang maklumat mengenai pembebasan 18 askar Kemboja yang ditahan sejak Julai lalu.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah hari Sabtu, sekali gus menghentikan pertempuran selama 20 hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 101 nyawa dan memaksa lebih setengah juta penduduk di kedua-dua negara berpindah. Pertempuran tersebut turut melibatkan serangan jet pejuang, tembakan roket dan bedilan artileri.

Pertempuran di sempadan itu kembali tercetus pada awal bulan ini susulan kegagalan perjanjian gencatan senjata terdahulu yang diusahakan dengan bantuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, bagi menghentikan pertempuran pada Julai.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara pada Sabtu, Thailand menyatakan bahawa ia akan membebaskan 18 askar Kemboja yang ditahan sejak Julai selepas gencatan senjata bertahan selama 72 jam. Namun, sehingga selepas tengah hari pada Selasa, tiada sebarang perkembangan diterima berhubung nasib para anggota tentera tersebut.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, berkata gencatan senjata itu masih rapuh dan memerlukan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan ia berkekalan, selain memulihkan hubungan dua hala secara berperingkat.

“Gencatan senjata ini baru sahaja dipersetujui, jadi ia masih rapuh,” kata Encik Sihasak kepada para wartawan. “Kita harus mengelakkan sebarang hasutan atau tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata tersebut,” kata beliau.

Pada Isnin, tentera Thailand mendakwa Kemboja melanggar gencatan senjata dengan menerbangkan lebih 250 dron ke ruang udara Thailand pada Ahad malam, dan mengancam untuk menimbangkan semula keputusan untuk menyerahkan askar Kemboja yang ditahannya.

Pihak berkuasa Kemboja menolak keras tuduhan tersebut dan mengeluarkan arahan bagi melarang penggunaan dron di seluruh negara.

Kementerian Luar Thailand turut menghantar bantahan rasmi kepada Kemboja selepas seorang anggota tenteranya kehilangan anggota badan pada Isnin akibat letupan periuk api di kawasan sempadan.

Kejadian yang melibatkan periuk api menjadi pencetus kepada pertempuran yang diperbaharui itu. Menteri Luar China menjadi tuan rumah kepada rundingan selama dua hari bersama rakan sejawatannya dari Thailand dan Kemboja, yang mencapai persetujuan pada Isnin bahawa kedua-dua negara akan berusaha untuk membina semula kepercayaan bersama, selain mengukuhkan gencatan senjata secara berperingkat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita