Gencatan senjata Thai-Kemboja capai 5 persetujuan dalam rundingan di KL
Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata secara ketat di sepanjang sempadan kedua-dua negara serta mengelakkan sebarang tindakan provokatif.
Mesyuarat GBC Luar Biasa antara Thailand dan Kemboja bermula pukul 2.00 petang, dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak sebagai pemudah cara dalam rundingan dua hala itu. (Gambar: Astro AWANI/Hasimi Muhamad)
Ia dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang berakhir di Kuala Lumpur hari ini (7 Ogos).
Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit berkata, matlamat utama mesyuarat itu adalah untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di sempadan serta membolehkan penduduk di kedua-dua negara kembali kepada kehidupan normal.
Menurut beliau, lima hasil utama telah disepakati termasuk penubuhan pasukan pemerhati sementara, yang terdiri daripada atase tentera ASEAN yang berpangkalan di Thailand dan Kemboja.
“Ia akan diketuai oleh atase tentera pembantu dari Malaysia. Pasukan ini akan memantau pematuhan secara berkala tanpa menyeberangi sempadan serta berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Tentera dan GBC kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media pada Khamis (7 Ogos).
Sebelum itu, Mesyuarat GBC Luar Biasa antara Thailand dan Kemboja bermula pukul 2.00 petang, dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak sebagai pemudah cara dalam rundingan dua hala itu.
Mesyuarat itu antaranya disertai oleh Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, Natthaphon, Panglima Angkatan Tentera dari kedua-dua negara serta penglibatan wakil dari Malaysia, Amerika Syarikat serta China yang diundang sebagai pemerhati.
Malaysia antaranya diwakili oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.