Skip to main content

Dunia

Gencatan senjata Israel-Hamas kekal berkuat kuasa jelang pembebasan tebusan, lawatan Trump ke Israel

Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza berkekalan untuk hari ketiga pada Ahad (12 Okt), menjelang pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin serta kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Parlimen Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Gencatan senjata Israel-Hamas kekal berkuat kuasa jelang pembebasan tebusan, lawatan Trump ke Israel

Para hadirin menghadiri konsert di dataran yang dikenali sebagai Hostages Square di Tel Aviv, Israel, pada Ahad, 12 Oktober 2025. (Gambar: AP/Emilio Morenatti)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 Oct 2025 08:31AM
KAHERAH: Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza berkekalan untuk hari ketiga pada Ahad (12 Okt), menjelang pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin serta kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Parlimen Israel.

Ribuan penduduk Palestin terus bergerak ke arah utara menuju ke Gaza City, kawasan yang menjadi tumpuan serangan Israel sepanjang dua bulan lalu, dengan harapan gencatan senjata itu akan menamatkan peperangan.

“Terdapat banyak kegembiraan dalam kalangan rakyat,” kata Abdou Abu Seada, sambil menambah bahawa di sebalik kegembiraan itu terdapat keletihan selepas melalui perang selama dua tahun yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Jurucakap pemerintah Israel, Shosh Bedrosian berkata Israel menjangka tebusan akan mula dibebaskan pada awal pagi Isnin, dengan 20 tebusan yang masih hidup akan dibebaskan secara serentak.

Pegawai Israel menjangkakan proses pembebasan akan bermula sekitar pukul 3.00 hingga pukul 4.00 pagi waktu tempatan.

Sekiranya tebusan dibebaskan lebih awal, Israel sudah bersedia untuk menerima mereka, katanya.

Pembebasan itu akan diikuti kemudian dengan penyerahan mayat 28 tebusan yang terkorban.

TRUMP DIJANGKA BERUCAP DI PARLIMEN ISRAEL

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Hamas dijadualkan membebaskan baki tebusan selewat-lewatnya pada tengah hari Isnin.

Mereka diculik pada 7 Oktober 2023 ketika kumpulan tersebut melancarkan serangan mengejut ke atas Israel yang mencetuskan peperangan itu.

Penyelaras tebusan Israel, Gal Hirsch, berkata pada Khamis bahawa satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk membantu mencari mayat tebusan yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya oleh Hamas.

Encik Trump dijadual tiba di Israel pada Isnin bagi menyampaikan ucapan di parlimen Israel, sebelum berangkat ke Sharm El Sheikh, Mesir, untuk menghadiri sidang puncak pemimpin dunia berhubung usaha untuk menamatkan perang Gaza.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, juga akan menghadiri sidang itu, menurut wartawan Axios pada Ahad, memetik seorang pegawai kanan Palestin.

Utusan Encik Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner, sebelum ini berucap dalam satu perhimpunan di Tel Aviv pada Sabtu, yang diharap ramai warga Israel sebagai perhimpunan terakhir bagi menuntut pembebasan tebusan dan penamatan perang.

Amerika Syarikat bersama Mesir, Qatar dan Turki menjadi pengantara dalam perjanjian fasa pertama antara Israel dan Hamas itu, yang melibatkan gencatan senjata serta pertukaran tebusan oleh Hamas dan pembebasan tahanan oleh Israel.

“Selama dua tahun kami (sudah) menunggu hari ini... detik ini. Kami semua gembira untuk keluarga dan tebusan, yang akhirnya kami akan dapat melihat mereka,” kata penunjuk perasaan Dalia Yosef sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump.

PENDUDUK GAZA YANG KEMBALI KE UTARA MENYAKSIKAN KEMUSNAHAN

Jabatan Penjara Israel memaklumkan pihaknya sudah memindahkan beberapa tahanan Palestin ke kemudahan lain menjelang pembebasan mereka.

Kementerian Kehakiman Israel turut mengeluarkan senarai 250 tahanan Palestin, termasuk mereka yang disabit kesalahan membunuh dan jenayah berat lain yang akan dibebaskan di bawah perjanjian itu.

Senarai tersebut tidak merangkumi komander kanan Hamas yang ingin dibebaskan oleh kumpulan tersebut, atau tokoh terkenal dari kumpulan lain seperti Marwan Al Barghouti dan Ahmed Saadat.

Walaupun perkara itu dijangka tidak menjejaskan perjanjian tersebut, pejabat maklumat tahanan Hamas menyatakan bahawa rundingan dengan perantara Israel mengenai senarai tahanan yang akan dibebaskan masih dijalankan.

Israel juga akan membebaskan 1,700 rakyat Palestin yang ditahan di Gaza sejak 7 Oktober 2023, serta 22 warga Palestin bawah umur, di samping menyerahkan mayat 360 orang pejuang.

Jurucakap pemerintah Israel, Bedrosian berkata para tahanan itu akan dibebaskan sebaik sahaja tebusan yang masih hidup tiba di wilayah Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pula berkata sebaik sahaja tebusan dikembalikan, pihak tentera akan memusnahkan rangkaian terowong bawah tanah di Gaza yang dibina oleh Hamas.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita