Gencatan senjata Iran masih berkuat kuasa, Amerika bukan mahu berperang: Pete Hegseth
Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth menghadiri satu sidang media di Pentagon pada 5 Mei 2026, di Arlington, Virginia. (Gambar: Chip Somodevilla/Getty Images/AFP)
Amaran daripada Setiausaha Perang Amerika Pete Hegseth itu dibuat pada hari kedua usaha Amerika untuk memudahkan transit kapal komersial melalui Selat Hormuz, yang telah ditutup oleh Iran sebagai tindak balas kepada peperangan Amerika-Israel terhadap republik Islam itu.
"Kami bukan cari gaduh. Tetapi Iran juga tidak boleh dibenarkan menyekat negara yang tidak bersalah dan barangan mereka daripada laluan air antarabangsa," kata Encik Hegseth kepada wartawan.
"Jika anda menyerang tentera Amerika atau perkapalan komersial yang tidak bersalah, anda akan berhadapan dengan kuasa tembakan Amerika yang luar biasa dan dahsyat," kata ketua Pentagon itu.
Pegawai tentera kanan Amerika Jeneral Dan Caine pula berkata pasukan Amerika bersedia untuk menyambung semula operasi tempur utama terhadap Iran jika diarahkan berbuat demikian.
"Tiada musuh patut menganggap kekangan kami sekarang sebagai kekurangan keazaman," kata Jenaral Caine, yang bercakap bersama Encik Hegseth.
Laksamana Brad Cooper, komander yang bertanggungjawab ke atas tentera Amerika di Timur Tengah, berkata pada hari Isnin bahawa pasukan Washington telah memintas peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Iran dan juga memusnahkan enam bot kecil Iran yang mengancam perkapalan.
Tetapi kedua-dua Jeneral Caine dan Encik Hegseth memandang ringan permusuhan tersebut, dengan Jeneral Amerika itu menyifatkannya sebagai "tembakan gangguan rendah" dan ketua Pentagon pula berkata "sekarang ini, gencatan senjata pastinya kekal."
Pasukan Amerika dan Israel melancarkan peperangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, dengan republik Islam Iran menutup Selat Hormuz -- laluan penting untuk eksport minyak dan gas -- manakala pasukan Amerika kemudiannya melancarkan sekatan pelabuhan Iran.
Presiden Donald Trump telah melanjutkan tanpa had masa terhadap apa yang pada asalnya merupakan gencatan senjata dua minggu, tetapi konflik itu -- dan kesan ekonomi meluasnya -- masih belum diselesaikan.
Jeneral Caine berkata pada masa ini terdapat "22,500 pelaut yang berada di atas lebih daripada 1,550 kapal komersial yang terperangkap di Teluk Arab, tidak dapat melintasinya."
Laksamana Cooper berkata pada hari Isnin bahawa Amerika Syarikat tidak mengiringi kapal secara langsung tetapi sebaliknya telah membersihkan laluan selamat melalui Selat Hormuz dan kemudian meletakkan pertahanan berbilang lapisan termasuk kapal, pesawat dan kaedah pertempuran elektronik untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman.
Encik Hegseth menjelaskan dalam ucapannya bahawa operasi itu tidak akan bersifat terbuka.
"Kami menstabilkan keadaan supaya perdagangan boleh mengalir semula, tetapi kami mengharapkan dunia untuk tampil. Pada masa yang sesuai, dan tidak lama lagi, kami akan menyerahkan tanggungjawab kembali kepada anda," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.