Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gen Z tidak guna beberapa emoji kerana 'tidak cool' dan 'agresif'

Anggaran Waktu Membaca:
Gen Z tidak guna beberapa emoji kerana 'tidak cool' dan 'agresif'

(Gambar: Urupong/iStock)

Diterbitkan : 14 Oct 2022 10:35AM Dikemas Kini : 14 Oct 2022 12:10PM

SINGAPURA: Kita semua sudah terbiasa untuk menggunakan 'emoji' semasa berbual, tidak kira dalam konteks profesional ataupun privet. 

Namun, menurut pengguna TikTok dan Reddit, Gen Z tidak gemar menggunakan beberapa emoji yang lazimnya digunakan generasi lanjut usia - ataupun 'boomer' - dan menyifatkan emoji-emoji berikut "tidak cool" dan "biadap". 

"Sebilangan besar pengguna TikTok setuju emoji ketawa 😂 adalah untuk generasi lanjut usia," kata Jeremy Burge, seorang ketua pegawai emoji bagi laman web, Emojipedia, dalam satu catatan blog.

Generasi lebih tua lazimnya menggunakan emoji secara literal, manakala golongan yang lebih muda pula lebih kreatif, tambah Encik Burge. 

BEBERAPA EMOJI "TIDAK MESRA"

Pengguna Gen Z di Reddit menyifatkan emoji 'thumbs up' 👍🏽 sebagai "agresif" dan "tidak mesra". 

Seeorang penulis yang meninggalkan komennya menambah, 👍🏽 adalah respons yang tidak menyedapkan hati, manakala seorang pengguna yang berusia 24 tahun berkata, "ia amat biadap sekiranya seseorang menghantar saya emoji itu. Jadi saya sukar menyesuaikan diri di tempat kerja yang menggunakan emoji tersebut".

Penjelasan yang diberikan beberapa pengguna Reddit adalah emoji semudah 👍🏽 itu boleh dilihat sebagai sikap acuh tidak acuh dan tidak mesra. Meskipun ia satu tanda bahawa mesej itu sudah dibaca, ia kelihatan seperti mesej yang tidak ikhlas dan menunjukkan kekurangan usaha penerima untuk membalas mesej yang dikirimkan. 

Menurut tinjauan yang dilakukan Adobe mengenai pengguna emoji di Amerika Syarikat, hanya 74 peratus golongan Gen Z setuju yang ia boleh diterima untuk membalas dengan emoji tanpa menggunakan kata-kata, berbanding 84 peratus golongan usia lebih lanjut. 

Namun, pengguna Reddit yang sama menarik perhatian bahawa ia mungkin satu perbezaan budaya komunikasi generasi. 

"Emoji boleh dilihat seperti biadap. Namun, ia berbeza antara generasi. Yang sama adalah orang ramai ingin tahu mesej mereka sudah dibaca dan diterima dan emoji tidak dapat menghantarkan mesej seumpama itu kepada semua orang," kata Elain Swann, seorang pakar gaya hidup dan tutur cara, seperti dipetik New York Post. 

Namun, lazimnya, lebih tua orang itu, lebih kemungkinan mereka akan membalas dengan emoji 👍🏽.

"Berdasarkan pengalaman saya, generasi lebih tua lebih menggunakannya daripada sesiapa saja," kata seorang pengguna Reddit dalam catatan berasingan. 

Satu tinjauan ke atas 2,000 orang yang dilakukan Perspectus Global - iaitu agensi kajian antarabangsa yang bebas - menunjukkan bahawa majoriti individu antara 16 hingga 29 tahun berasa mereka yang menghantar 👍🏽 "tua dan tidak cool lagi". 

Satu lagi contoh emoji yang sudah lapuk adalah emoji hati ❤️. Menurut tinjauan Perspectus Global, emoji itu jatuh dalam kategori Top 10 yang membuat anda kelihatan "tua". 

Namun, golongan 'boomers', iaitu mereka yang lahir antara 1947 and 1964, tidak biasa menggunakan ❤️ dalam konteks profesional berbanding Gen Z. 

"Agak pelik bagi saya untuk menghantar emoji hati untuk mesej berhubung kerja. Saya gunakan emoji ❤️ untuk perkara seperti apabila seorang berkata 'Saya mempunyai anak kucing yang baru'," kata seorang yang mendakwa dirinya 'boomer' di Reddit. 

"Saya rasa tidak sedap hati dengan reaksi hati," tambah seorang lagi pengguna Reddit yang berusia 40 tahun. 

"Setuju, bagi saya, emoji hati itu untuk rakan-rakan dan keluarga, dan mempunyai makna cinta yang lebih peribadi, manakala 👍🏽 adalah tanda persetujuan yang mudah," kata seorang lagi warga net yang berusia 43 tahun. 

Sebaliknya, Gen Z pula lebih menggunakan ❤️ berbanding 👍🏽, meskipun di tempat kerja. 

"Saya meninggalkan emoji 'hati' atau membalas walaupun ia seringkas 'Baik!' atau 'Terima kasih!'," kata pengguna Reddit yang memuat naik catatan terawal. 

Pekerja yang lebih lanjut usia, walaubagaimanapun, tidak memahami cara pemikiran generasi baru ini. 

"Saya suka 👍🏽. Saya menyukainya kerana ia boleh membawa pelbagai makna. Ia boleh bermaksud 'Saya setuju' atau 'Saya benarkannya' atau 'Saya faham dan ikut kata anda'," kata seorang yang mendakwa dirinya boomer di Reddit. 

Menurut perunding perniagaan yang dipetik Daily Mail, emoji itu berpotensi membawa maksud yang berbeza, bergantung pada latar belakang kebudayaan penerima tersebut. 

Ia penting untuk memahami dinamik hubungan di tempat kerja sebelum menghantar sebarang emoji, kata Sue Ellson. 

Kesimpulannya? Pastikan usia penerima mesej anda terlebih dahulu. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan