Gempar! Buaya muncul di pantai
Hasrat sekeluarga bersama saudara-mara untuk berkelah dan mandi laut tidak kesampaian apabila digemparkan dengan penemuan seekor buaya yang tiba-tiba muncul di atas daratan Pantai Batu 1, Kuala Baram, di Miri pada Ahad (9 Sep).
Seekor buaya yang muncul di Pantai Batu 1, Kuala Baram, di Miri. (Gambar: Kelvin Kalang/Facebook)
MIRI: Hasrat sekeluarga bersama saudara-mara untuk berkelah dan mandi laut tidak kesampaian apabila digemparkan dengan penemuan seekor buaya yang tiba-tiba muncul di atas daratan Pantai Batu 1, Kuala Baram, di Miri pada Ahad (9 Sep).
Henry John berkata beliau bersama keluarga dan seramai 10 anggota saudaranya tiba di pantai berkenaan untuk meluangkan masa pada hujung minggu apabila terserempak dengan reptilia sepanjang lebih tiga meter di pantai berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu, pekerja swasta itu memberanikan diri untuk merakamkan kehadiran buaya tersebut dengan menggunakan telefon bijaknya sebelum buaya itu merangkak kembali ke laut.
“Pada mulanya, kami tidak mempedulikan haiwan itu kerana memikirkan ia hanya seekor biawak biasa. Setelah anak saudara saya melihat dari dekat, baru sedar ia seekor buaya,” kata Henry kepada Bernama.
Rakaman video penemuan buaya selama 1.28 minit itu dimuat naik ke laman Facebook Miri Complain Community petang semalam (9 Sep) dan sehingga kini sudah menular serta dikongsi oleh lebih 1,000 netizen.
Rata-rata netizen turut menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pengunjung ke pantai tersebut setelah kemunculan buaya itu.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut manakala jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri turut mengesahkan tiada laporan diterima.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.