Skip to main content

Dunia

Gempa Venezuela: Pengawal keselamatan ditemui hidup 8 hari selepas terperangkap bawah runtuhan

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang pengawal keselamatan berusia 43 tahun dalam keadaan masih hidup dari ruang bawah tanah yang runtuh pada awal Khamis (2 Jul), sekali gus menamatkan operasi menyelamat yang mencabar selama beberapa hari yang menjadi lambang harapan menyusuli kemusnahan akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela lapan hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa Venezuela: Pengawal keselamatan ditemui hidup 8 hari selepas terperangkap bawah runtuhan

Pasukan penyelamat membantu HernĂ¡n Alberto Gil Flores selepas beliau berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan 8 hari selepas terperangkap akibat dua gempa bumi yang melanda Catia La Mar, Venezuela, pada 2 Julai 2026. (Gambar: AP/Fernando Vergara)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 10:37AM
CATIA LA MAR: Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang pengawal keselamatan berusia 43 tahun dalam keadaan masih hidup dari ruang bawah tanah yang runtuh pada awal Khamis (2 Jul), sekali gus menamatkan operasi menyelamat yang mencabar selama beberapa hari yang menjadi lambang harapan menyusuli kemusnahan akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela lapan hari lalu.

HernĂ¡n Alberto Gil Flores berjaya dikeluarkan dengan selamat selepas terperangkap sejak 24 Jun di bawah runtuhan ruang bawah tanah pusat beli-belah GalerĂ­as Playa Grande di bandar pesisir La Guaira. Pasukan penyelamat pertama kali berhubung dengannya pada hujung minggu lalu.

Pasukan penyelamat dari pelbagai negara bersorak apabila Encik Gil, yang memakai topeng oksigen semasa diusung dengan kanvas jingga, dibawa menuju ke ambulans Palang Merah.

Sekumpulan anggota Palang Merah Costa Rica berpakaian seragam merah berpelukan sambil menghela nafas lega, manakala yang lain memberikan tepukan gemuruh.

Operasi menyelamat itu dianggap sebagai satu keajaiban di tengah-tengah tragedi yang berlarutan selama seminggu.

Dengan pasukan penyelamat membekalkan makanan dan air kepadanya sepanjang kerja-kerja mengorek runtuhan konkrit dijalankan, mereka berjaya memastikan beliau dapat terus bertahan melepasi tempoh 48 hingga 72 jam yang lazimnya dianggap sebagai tempoh masa untuk menemui mangsa yang masih hidup dalam operasi menyelamat bencana.

Encik Gil Flores bertugas sebagai pengawal keselamatan syif malam di kompleks tersebut dan berada di pondok kawalan kecil ketika gegaran kuat pertama melanda.

Walaupun struktur konkrit di sekelilingnya runtuh, pondok kawalan itu kekal utuh, melindunginya daripada dihempap runtuhan serta mewujudkan ruang udara yang penting untuk terus hidup.

"Apabila kami menemuinya, dia meminta kami supaya tidak memberitahu isterinya bahawa dia masih hidup, sekiranya dia tidak berjaya diselamatkan," kata anggota penyelamat Palang Merah Costa Rica, Minyar Collado, kepada The Associated Press.

Namun, beliau menambah: "Kami tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya di sini."

Pasukan khas Palang Merah Costa Rica pada awalnya mengesan tanda-tanda mangsa yang masih hidup dan kemudian berjaya berhubung dengannya pada Ahad.

Isterinya, Gusbimar GonzĂ¡lez, memberitahu AP bahawa beliau melalui beberapa hari yang penuh keperitan sebelum dimaklumkan bahawa pasukan penyelamat berjaya menghubungi suaminya.

"Apabila saya tahu dia masih hidup, saya nampak sinar harapan di tengah kegelapan," kata beliau.

Pasangan itu mempunyai dua orang anak berusia lapan dan 10 tahun.

Operasi itu diselaraskan oleh pasukan mencari dan menyelamat bandar daripada pasukan bomba Chile yang bekerja tanpa henti bersama pasukan khas dari Amerika Syarikat, Portugal, Mexico, Costa Rica, El Salvador dan Venezuela.

Pasukan-pasukan penyelamat berdepan struktur bangunan yang sangat tidak stabil, hujan lebat dan gegaran susulan yang berterusan ketika menggali terowong untuk mencari mangsa.

Mereka menggunakan kamera teleskopik bagi mengekalkan hubungan dengan Encik Gil Flores, selain menyalurkan air dan nutrien cecair melalui ruang sempit bagi memastikan beliau mendapat bekalan air ysng mencukupi sepanjang tiga hari terakhir operasi menyelamat.

MarĂ­a Paz Campos, anggota bomba berpengalaman dari Chile, bercakap dengannya sepanjang operasi itu dan menenangkan beliau ketika saat-saat sukar pada Khamis.

Dalam rakaman video yang diterbitkan pasukan bomba Chile beberapa jam sebelum operasi menyelamat berjaya dijalankan, Encik Gil Flores dilihat melukis, dipercayai bagi mengisi masa.

Cik Campos kemudian dengan nada lembut memintanya untuk memandang ke arah kamera dan memakai cermin mata keselamatan.

"Saya perlukan anda untuk terus memakai cermin mata itu kerana ada serpihan kecil yang jatuh, supaya ia tidak terkena mata anda," kata Cik Campos kepada mangsa dari Venezuela itu.

Bangunan tersebut runtuh akibat dua gempa bumi berturut-turut pada 24 Jun yang masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5 pada skala Richter.

Gegaran cetek tetapi kuat itu merosakkan atau memusnahkan puluhan ribu bangunan di seluruh utara Venezuela, mengorbankan lebih 2,200 orang, mencederakan lebih 11,000 yang lain dan menjadikan wilayah La Guaira sebagai kawasan paling teruk terjejas di negara itu.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita