Skip to main content

Dunia

Gempa Venezuela: 33 orang berjaya diselamatkan, puluhan ribu masih hilang

Seramai 33 mangsa berjaya diselamatkan setakat hujung minggu lalu susulan dua gempa bumi yang melanda Venezuela, termasuk beberapa kanak-kanak, kata presiden sementara negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
 Gempa Venezuela: 33 orang berjaya diselamatkan, puluhan ribu masih hilang

Orang ramai berkumpul ketika anggota penyelamat menjalankan operasi menyelamat susulan gempa bumi yang melanda negara itu, di La Guaira, Venezuela, pada Sabtu lalu. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 11:44AM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 11:46AM
CARACAS: Seramai 33 mangsa berjaya diselamatkan setakat hujung minggu lalu susulan dua gempa bumi yang melanda Venezuela, termasuk beberapa kanak-kanak, kata presiden sementara negara itu.

Namun, nasib puluhan ribu lagi individu masih belum dapat dikenal pasti, dengan masa semakin suntuk untuk menemukan mangsa yang masih hidup.

Angka korban akibat gempa berkembar yang berlaku pada Rabu lalu (24 Jun) meningkat kepada lebih 1,400 orang setakat Sabtu (27 Jun), sedang pasukan penyelamat antarabangsa mula tiba di wilayah pesisir La Guaira yang paling teruk terjejas.

Sebelum ketibaan lebih 1,600 anggota penyelamat asing, keluarga mangsa dan sukarelawan bertungkus-lumus menggali runtuhan untuk mencari mangsa terselamat dan mayat, tetapi berdepan kekurangan peralatan berat manakala kehadiran pihak berkuasa terhad.

Keadaan menjadi lebih buruk susulan ratusan gegaran susulan.

Pemerintah yang dipimpin presiden sementara, Delcy Rodriguez, turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan awam yang menghantar bantuan ke La Guaira, tetapi kemudian mengetatkan akses jalan ke kawasan tersebut bagi memastikan pergerakan kenderaan kecemasan tidak terganggu.

Walaupun pemerintah menyatakan ratusan mangsa masih hilang atau terperangkap, hampir 50,000 individu disenaraikan sebagai masih belum ditemui dalam satu laman web yang disokong pihak pembangkang setakat Ahad (28 Jun).

Angka itu turun sedikit berbanding 55,000 yang dilaporkan pada Sabtu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat menganggarkan jumlah kematian berpotensi mencecah lebih 10,000 orang akibat gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5 itu, sekali gus menjadikannya antara bencana paling dahsyat di Amerika Latin dalam tempoh seabad.

Ketua pasukan penyelamat Switzerland, Sebastian Eugster berkata peluang untuk menyelamatkan mangsa hidup biasanya terhad kepada tempoh kira-kira 72 jam selepas kejadian.

Pasukan seramai 80 anggota itu berjaya mengesan beberapa mangsa hidup di bawah runtuhan menggunakan anjing pengesan, tetapi tidak sempat menyelamatkan mereka.

Sabtu lalu menandakan genap 72 jam sejak gempa berlaku.

Pasukan penyelamat dijangka menentukan bila operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan, tetapi akan terus berada di lapangan bagi menyokong tugas bantuan lain.

Pada masa sama, bekalan elektrik beransur-ansur pulih di beberapa kawasan, Namun, Venezuela masih berdepan gangguan tenaga yang berpanjangan berikutan kekangan pelaburan dan sekatan ekonomi yang dihadapinya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita