Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa susulan, hujan lebat hambat usaha cari mangsa gempa bumi Cianjur

Anggaran Waktu Membaca:
CIANJUR: Gerakan mencari kira-kira 40 orang mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat masih diteruskan.

Namun harapan untuk menemui mereka masih hidup semakin tipis.

Hujan lebat dan ancaman tanah runtuh menghambat usaha kakitangan penyelamat untuk menemui mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah timbunan.

Gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter pada Isnin (21 Nov) menyebabkan kemusnahan besar di bandar pergunungan kira-kira 75 kilometer ke selatan ibu kota, Jakarta.

Usaha menyelamat ditumpukan pada kawasan Cugenang, yang paling teruk terjejas di mana sekurang-kurangnya sebuah kampung dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Helikopter dikerahkan untuk membawa makanan dan minuman ke dua kampung yang tidak dapat dimasuki kenderaan, kata Henri Alfiandi, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat.
Menurutnya gegaran susulan yang mencetuskan lebih banyak kejadian tanah runtuh menghambat operasi pasukannya.

"Oleh kerana gempa susulan agak kuat dan cuaca hujan, kami khuatir akan berlakunya tanah runtuh. Namun kami harus teruskan operasi pemindahan sekarang," kata Encik Henri kepada Reuters.

Ai Nurjanah, 48 tahun, berkata, dia terperangkap di bawah konkrit yang tumbang selama kira-kira 15 minit selepas gempa itu, sambil melindungi anak perempuannya berusia empat tahun.

Mereka sedang tidur ketika gempa melanda.

"Saya terus menjerit meminta tolong sehingga hilang suara. Anak perempuan saya menangis, 'Mama, gelap, saya tidak boleh bernafas'," katanya kepada Reuters sementara menunggu untuk dirawat kerana kecederaannya di hospital.

Pihak berkuasa Indonesia sedang berusaha untuk membawa masuk lebih banyak jentera berat bagi membersihkan tanah-tanah runtuh.

Sekitar 6,000 penyelamat dikerahkan, menurut Agensi Mitigasi Bencana.

Pegawai menyatakan terdapat lebih 170 gegaran susulan termasuk gempa dengan kekuatan 3.9 skala Richter pada tengah hari Rabu.

Pekerja penyelamat berjaya mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki lima tahun yang selamat kerana dilindungi sebuah tilam.

Di hospital di Cianjur, mangsa dirawat dalam khemah di luar hospital itu kerana bimbang akan gegaran susulan, kata seorang kakitangan.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata ada keperluan mendesak untuk bantuan tambahan bagi pesakit di hospital yang musnah akibat gempa bumi.

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan, sehingga Rabu,271 orang disahkan meninggal dunia.

Lebih 30 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak kerana gempa berlaku ketika kanak-kanak sedang bersekolah.

Kira-kira 140 bangunan sekolah, roboh.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan