Gempa Sulawesi: Program pemulihan, binaan semula di kawasan bencana bermula bulan depan
Indonesia akan memulakan program pemulihan dan pembinaan semula pada bulan depan di kawasan-kawasan di Sulawesi yang dilanda gempa bumi dan tsunami.
JAKARTA: Indonesia akan memulakan program pemulihan dan pembinaan semula pada bulan depan di kawasan-kawasan di Sulawesi yang dilanda gempa bumi dan tsunami.
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, mengumumkan demikian semasa operasi mencari dan menyelamat para mangsa yang masih hilang. Operasi itu bakal ditamatkan esok (11 Okt).
Fasa seterusnya adalah operasi membersihkan kawasan-kawasan terjejas. Encik Kalla berkata program pemulihan selama dua tahun di Sulawesi akan melibatkan pembinaan kawasan perumahan, sekolah, masjid serta bangunan pejabat. Menurut beliau, program pembangunan itu akan dijalankan dalam dua fasa.
Sejauh ini, tambah beliau, 26 buah negara sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia menyusuli bencana gempa bumi dan ombak tsunami pada 28 September lalu.
Angka korban akibat kedua-dua bencana alam itu sudah melebihi 2,000 orang manakala kira-kira 5,000 lagi penduduk dipercayai masih hilang.
Tumpuan pihak berkuasa kini beralih kepada usaha membantu lebih 80,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana tersebut. Keprihatinan juga semakin meningkat tentang penularan penyakit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.