Skip to main content

Dunia

Gempa Segamat: Jabatan Agama Islam Negeri Johor arah masjid, surau lakukan solat hajat, doa selamat

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa Segamat: Jabatan Agama Islam Negeri Johor arah masjid, surau lakukan solat hajat, doa selamat

Jemaah menunaikan solat di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. (Gambar: Facebook/Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn Johor Bahru)

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan arahan kepada 1,038 masjid dan surau di negeri itu supaya melaksanakan solat hajat serta doa selamat berikutan gempa bumi lemah terbaharu di Segamat awal pagi Jumaat (29 Ogos).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia akan dilaksanakan selepas solat Jumaat hari ini (29 Ogos) bagi memohon perlindungan dan keselamatan rakyat di daerah berkenaan dan seluruh Johor amnya.

“Semoga Allah memperkenankan doa kita semua, amin,” katanya menerusi catatannya di Facebook.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi dalam kenyataannya berkata tiada kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini menyusuli gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 pada skala Richter di Segamat pada pukul 4.24 pagi Jumaat.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah, berkata orang awam diminta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa dan dinasihatkan supaya bertenang serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Perkembangan terkini boleh didapati menerusi sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atau agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di Segamat, terutamanya orang awam, berada dalam keadaan selamat.

Gempa bumi yang berpusat di koordinat 2.7° Utara dan 102.9° Timur, kira-kira 22 kilometer (km) timur laut dari Segamat, dengan kedalaman 10km awal pagi Jumaat, merupakan gegaran keempat dicatatkan di daerah tersebut minggu ini.

MetMalaysia memaklumkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor.

Sebelum ini, Segamat mencatat tiga kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada 24, 27 dan 28 Ogos dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita