Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa Lombok: Gegaran terus dirasakan, penduduk bermalam di tanah lapang

Penduduk di Pulau Lombok dilaporkan bermalam di luar rumah, memenuhi kawasan lapang dan padang, berikutan berlakunya gempa susulan selepas gempa sekuat 7.2 pada skala Richter menggoncang pulau itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa Lombok: Gegaran terus dirasakan, penduduk bermalam di tanah lapang

Penduduk Lombok bermalam di tanah lapang susuli gempa bumi pada 19 Ogos. (Gambar: STR/ AFP)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 09:24AM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 09:28AM

JAKARTA: Penduduk di Pulau Lombok dilaporkan bermalam di luar rumah, memenuhi kawasan lapang dan padang, berikutan berlakunya gempa susulan selepas gempa sekuat 7.2 pada skala Richter menggoncang pulau itu.

Dalam kejadian pada 9.56 malam semalam (19 Ogos), Lombok sekali lagi digegarkan gempa yang berpusat sedalam 10 kilometer di timur laut Lombok Timur.

Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), lebih 20 gempa susulan berterusan berlaku sejak semalam (19 Ogos) hingga setakat 6.00 pagi tadi.

Kota Mataram, Lombok dan Nusa Tenggara Barat pula dilaporkan gelap-gelita berikutan terputusnya bekalan elektrik.

Menurut agensi berita Antara di Lombok, ketika gegaran berlaku, penduduk lari bertempiaran ke luar rumah, wanita dan kanak-kanak pula menangis ketakutan.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata gempa itu turut dirasakan hingga ke wilayah Nusa Tenggara Barat, wilayah Bali, Jember (Jawa Timur) dan Makassar (Sulawesi Selatan).

"Selain itu, berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan-kawasan bukit dan di Gunung Rinjani," katanya.

Menurut data BMKG, lebih 600 gempa bumi berlaku di pulau Lombok sejak 5 Ogos.

Gempa sekuat 7.0 pada skala Richter pada 5 Ogos lalu itu menyebabkan hampir seratus ribu rumah musnah, lebih 400 terkorban, manakala lebih seribu cedera.

Ketika operasi mencari mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan akibat kejadian itu sedang dijalankan, pulau itu berterusan digegarkan dengan beratus gempa susulan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan