Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa kuat landa pinggir pantai Jepun; bekalan elektrik putus

 Gempa bumi kuat yang dianggarkan 7.1 pada skala Richter melanda bahagian pinggir pantai timur Jepun pada Sabtu (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat landa pinggir pantai Jepun; bekalan elektrik putus

Loji nuklear Fukushima. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 Feb 2021 10:28AM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 10:30AM

TOKYO: Gempa bumi kuat yang dianggarkan 7.1 pada skala Richter melanda bahagian pinggir pantai timur Jepun pada Sabtu (13 Feb), menggegarkan bangunan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di banyak kawasan negara itu. Namun, tiada kerosakan besar atau amaran tsunami dikeluarkan.

Perdana Menteri Yoshihide Suga memberitahu para wartawan bahawa tiada korban jiwa dilaporkan sejauh ini, menurut agensi berita Kyodo, yang melaporkan lebih 50 orang cedera. Laporan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Tiada laporan segera mengenai sebarang kerosakan besar, meskipun stesen-stesen penyiaran berita tempatan menunjukkan imej-imej berlaku kejadian tanah runtuh di sebatang lebuh raya.

Pusat gempa terletak pada kedalaman 60 kilometer di kawasan perairan wilayah Fukushima, menurut Agensi Meteorologi Jepun. Ia melanda pada 11.08 malam waktu tempatan (10.08 malam waktu Singapura) dan menggegarkan bangunan-bangunan di ibu negara Tokyo dan bandar-bandar lain.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan, menurut agensi meteorologi itu.

Sekitar 950,000 keluarga pada awalnya terputus bekalan elektrik, menurut jurucakap kerajaan Katsunobu Kato semasa mengadakan taklimat yang disiarkan oleh penyiar awam NHK. Bekalan elektrik terputus di bahagian timur laut Jepun, termasuk Fukushima dan wilayah-wilayah di sekelilingnya.

Encik Suga, yang bergegas ke pejabatnya menyusuli gempa bumi itu, memberitahu para wartawan bahawa kabinetnya akan bersidang pada pukul 9.00 pagi Ahad (14 Feb) untuk mengadakan satu taklimat, lapor agensi berita Kyodo.

Penyiar NHK menambah bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah pejabat perhubungan khas untuk menyelaraskan operasi dengan wilayah-wilayah yang terjejas.

Tiada keganjilan dilihat di loji nuklear Fukushima Daiichi dan Daini atau di loji nuklear Kahiwazaki-Kariwa, menurut pemiliknya Tokyo Electric Power Company Holdings.

Syarikat perbekalan itu juga menyatakan bahawa tiada perubahan dikesan pada paras radiasi di sekitar kawasan loji berkenaan.

Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato juga berkata tiada keganjilan dikesan di kemudahan nuklear Fukushima Daini dan Onagawa.

Gempa bumi itu melanda perairan Fukushima beberapa minggu sebelum ulang tahun ke-10 gempa dahsyat yang melanda bahagian timur laut Jepun pada 11 Mar 2011, dengan gelombang besar tsunami mencetuskan krisis nuklear paling menggenting di dunia dalam masa 25 tahun. Bencana itu melibatkan kemudahan di Daiichi.

Pada September 2018, gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter menggegarkan Hokkaido, mencetuskan tanah runtuh yang memusnahkan banyak rumah dan meragut nyawa lebih 40 mangsa.

Sumber : CNA/AY/ay

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa