Skip to main content

Dunia

Gempa kuat gegar Filipina; tiada kerosakan besar dilapor

Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan Filipina pada Khamis (12 Ogos), menurut Jabatan Kaji Bumi Amerika Syarikat (USGS), sedang amaran awal tentang risiko berlaku tsunami ditarik balik dan tiada korban jiwa atau kerosakan besar dilaporkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat gegar Filipina; tiada kerosakan besar dilapor

Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan Filipina 12 Ogos 2021. (Gambar: Petikan skrin dari USGS)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 02:33PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 02:34PM

MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan Filipina pada Khamis (12 Ogos), menurut Jabatan Kaji Bumi Amerika Syarikat (USGS), sedang amaran awal tentang risiko berlaku tsunami ditarik balik dan tiada korban jiwa atau kerosakan besar dilaporkan.

Bencana alam itu berlaku pada kedalaman 65.6 kilometer, menurut USGS dan pusat gempanya adalah di Laut Filipina dekat tenggara Bandar Davao.

Agensi bencana negara Filipina sejauh ini tidak menerima sebarang laporan tentang kematian, kecederaan atau kerosakan teruk, kata pentadbir Ricardo Jalad.

Lapangan kapal terbang, pelabuhan serta prasarana penting kebanyakannya tidak terjejas oleh gempa itu dan semua kakitangan terselamat, menurut kementerian pengangkutan.

Sebuah lapangan terbang yang jarang digunakan di selatan wilayah Davao Oriental mengalami rekahan pada landasannya tetapi tiada kerosakan dilaporkan pada bangunan terminal penumpang, tambahnya.

Agensi seismologi Filipina sebelum ini mengeluarkan amaran tentang risiko kerosakan, gempa susulan dan tsunami tetapi ia kemudian menyatakan data menunjukkan tiada ancaman tsunami yang membinasakan.

Jabatan Kaji Cuaca Negara Amerika Syarikat dan Jabatan Pengurusan Kecemasan Hawaii juga menyatakan tiada risiko tsunami terhadap Pantai Barat Amerika atau Hawaii. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita