Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa kuat gegar California Selatan

Gempa bumi kuat mengegarkan California Selatan pada Khamis (4 Jul), menyebabkan kebakaran di rumah-rumah dan kerosakan pada bangunan-bangunan di sebuah bandar padang pasir di bahagian timur laut Los Angeles.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat gegar California Selatan

Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter melanda pada jarak kira-kira 182 kilometer dari bahagian timur laut Los Angeles. (Gambar: Frederic J. Brown/AFP)

Diterbitkan : 05 Jul 2019 08:06AM Dikemas Kini : 05 Jul 2019 08:51AM

LOS ANGELES: Gempa bumi kuat menggegarkan California Selatan pada Khamis (4 Jul), menyebabkan kebakaran di rumah-rumah dan kerosakan pada bangunan-bangunan di sebuah bandar padang pasir di bahagian timur laut Los Angeles.

Pihak berkuasa bagaimanapun berkata hanya kecederaan ringan dilaporkan.

Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter itu melanda pada jarak kira-kira 182 kilometer dari bahagian timur laut Los Angeles, berhampiran bandar Ridgecrest pada sekitar 1.30 pagi EDT (1.30 pagi waktu Singapura), menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu adalah yang paling kuat berlaku di kawasan itu dalam dua dekad.

Gambar sebuah kedai di Lake Isabelle, California menyusuli gempa bumi yang berlaku di Selatan California. (Gambar: HO/AFP)

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata keadaan di California Selatan kelihatan terkawal di tengah-tengah laporan mengenai kemusnahan yang berlaku di merata bandar tersebut.

Datuk Bandar Ridgecest, Peggy Breedon, pula berkata bandar itu sedang menangani kebakaran dan bekalan gas yang terputus serta objek-objek yang terjatuh lalu terkena orang ramai sedang banyak gegaran susulan berlaku.

"Kami sudah biasa dengan gempa bumi, tetapi kami tidak biasa dengan gempa bumi sekuat ini," katanya kepada MSNBC.

Cik Breedon berkata Ridgecrest menyeru para penduduknya supaya menjaga satu sama lain terutamanya golongan warga tua, yang membentuk sebahagian besar jumlah penduduk di bandar tersebut.

Gempa itu melanda dekat bandar Ridgecrest dan tapak ujian senjata China Lake milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Mereka yang berada di sebuah hospital yang musnah akibat gempa di Ridgcrest dipindahkan. Seorang pegawai di China Lake pula berkata pusat-pusatnya mengalami "kerosakan besar", termasuk kebakaran, kebocoran paip air dan bahan-bahan berbahaya.

Gegaran akibat gempa bumi itu juga dapat dirasai di seluruh Los Angeles, sehingga Fresno dan Las Vegas, Nevada.

Ia turut dirasai di bahagian selatan berhampiran sempadan Mexico, dengan orang ramai yang mendiami bangunan-bangunan di bandar Tijuana dan Mexicali dipindahkan, kata para pegawai Wilayah Baja.

Ahli seismologi USGS, Lucy Jones, di satu sidang media di Pasadena, California. (Gambar: John Antczak/AP)

"Kami menjangkakan lebih banyak gempa bumi akan berlaku hari ini, sekurang-kurangnya satu lagi yang akan menyebabkan kemusnahan," kata ahli seismologi USGS, Lucy Jones, di satu sidang media.

Menurut poweroutage.us, sekurang-kurangnya 5,851 rumah di Kern County terjejas akibat bekalan elektrik yang terputus. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan