Skip to main content

Dunia

Gempa kuat gegar California, amaran tsunami ditarik balik

Anggaran Waktu Membaca:
  Gempa kuat gegar California, amaran tsunami ditarik balik

Satu gempa kuat menggegarkan wilayah pantai utara California mencetuskan amaran tsunami buat seketika, 5 Dis 2024. (Gambar: Google Map)

CALIFORNIA: Satu gempa kuat menggegarkan wilayah pantai utara California mencetuskan amaran tsunami buat seketika pada Khamis (5 Dis), dengan penduduk digesa supaya berpindah ke kawasan-lebih tinggi atau jauh dari laut.

Amaran itu kemudian dibatalkan.

Pakar seismologi di Jabatan Geologi Amerika Syarikat berkata gegaran kuat berukuran 7.0 magnitud berlaku kira-kira 68 kilometer dari bandar pantai Ferndale pada 10.44 pagi waktu tempatan, dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu merasakan gegaran kuat.

Para pengguna telefon bijak menerima amaran menggesa mereka supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi, menurut seorang wartawan AFP di sana.

"Beberapa ombak dan arus kuat mungkin menjejas pantai-pantai berdekatan anda," menurut amatan tersebut.

"Anda dalam bahaya. Pergi jauh daripada kawasan perairan pantai."

Khidmat Cuaca Nasional, yang mengeluarkan amaran itu, kemudian menarik balik amaran tersebut kira-kira pada tengah hari, sejurus sebelum ombak pertama dijangkakan.

Gempa itu turut dirasakan di seluruh rantau tersebut, termasuk San Francisco Bay, di selatan.

Kawasan itu pernah digegarkan beberapa gempa besar, termasuk gempa 1994 yang melanda Northridge, di kawasan Los Angeles, mengorbankan puluhan orang dan ribuan yang lain cedera.

Jumlah kerosakan pada rumah dan prasarana dalam bencana itu mencecah berbilion dolar.

Gempa pada 1906 di San Francisco, yang juga menyebabkan tsunami, dikatakan meragut nyawa 3,000 orang, sebahagiannya maut dalam kebakaran yang tercetus selepas gegaran kuat.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita