Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa kuat 6.9 Richter gegarkan Mexico, 2 maut

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat 6.9 Richter gegarkan Mexico, 2 maut

Para penduduk di kejiranan Tlatelolco, bergegas keluar dari kediaman masing-masing selepas gempa bumi kuat berukuran 6.9 Richter menggegarkan Mexico pada 22 September 2022. (Gambar: Alfredo Estrella/ AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2022 08:24PM Dikemas Kini : 22 Sep 2022 08:24PM
MEXICO CITY: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 Richter menggegarkan Mexico pada Khamis (22 Sep), meragut nyawa sekurang-kurangnya dua orang ketika penduduk bergegas ke jalan raya ibu kota Mexico, beberapa hari selepas satu lagi kejadian gempa yang kuat melanda negara tersebut.
Seorang wanita maut di Mexico City selepas kepalanya terhantuk akibat terjatuh dari tangga manakala mangsa kedua mengalami serangan jantung.

Agensi seismologi negara melaporkan, pusat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud itu terletak berhampiran pantai Pasifik, 84 kilometer di selatan Coalcoman di negeri barat Michoacan.

Ia adalah yang paling kuat daripada lebih 1,200 gegaran susulan daripada gempa bumi berukuran 7.7 Richter yang melanda kawasan yang sama Isnin lalu.

Gegaran itu menyebabkan dua orang maut di barat Mexico, merosakkan beberapa ribu bangunan dan mencetuskan panik lebih 400 kilometer jauhnya di Mexico City.

Gempa bumi terbaru itu sekali lagi mencetuskan penggera di ibu kota sejurus selepas 1.00 pagi (waktu tempatan) dan menyebabkan bangunan bergegar dan bergoyang.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, di Twitternya berkata gegaran susulan 6.9 magnitud berlaku dengan pusat gempa di Coalcoman.

"Malangnya, dua orang maut di Mexico City," katanya sambil menambah tiada laporan korban jiwa di wilayah barat Michoacan, Colima dan Jalisco.

Datuk Bandar Mexico City, Claudia Sheinbaum, berkata helikopter telah diterbangkan di atas bandar itu dan tiada laporan awal mengenai kemusnahan.

 
Sumber : AFP/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa