Skip to main content

Dunia

Gempa kuat 6.2 Richter landa perairan Istanbul

Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Laut Marmara dekat Istanbul pada Rabu (23 Apr), dengan impaknya dan beberapa gegaran susulan menyebabkan beribu-ribu orang melarikan diri dalam keadaan panik di seluruh bandar terbesar Turki itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat 6.2 Richter landa perairan Istanbul

Orang ramai duduk di daerah Eminonu di mana terletaknya Masijd Baru, menyusuli gempa bumi di Istanbul, Turki pada 23 April 2025. (Gambar: Reuters/Murad Sezer)

Diterbitkan : 24 Apr 2025 07:48AM Dikemas Kini : 24 Apr 2025 07:49AM
ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Laut Marmara dekat Istanbul pada Rabu (23 Apr), dengan impaknya dan beberapa gegaran susulan menyebabkan beribu-ribu orang melarikan diri dalam keadaan panik di seluruh bandar terbesar Turki itu.

Gempa itu diikuti oleh lebih 50 gegaran susulan, dengan sejumlah daripadanya sangat kuat, kata menteri dalam negeri Turki, walaupun tiada kerosakan besar atau kecederaan serius dilaporkan setakat ini.

"Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud berlaku di Silivri, Laut Marmara, Istanbul," kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada platform X, sambil menambah bahawa ia turut dirasai di wilayah sekitarnya.

Gempa awal berlaku pada pukul 12.49 tengah hari waktu tempatan pada kedalaman 6.92km di dasar laut, yang terletak di selatan bandar raya itu, dan berlarutan selama 13 saat, katanya.

"Menjelang pukul 3.12 petang, 51 gegaran susulan - yang terbesar ialah 5.9 magnitud - telah direkodkan," katanya.

Sedang bangunan-bangunan bergegar, orang ramai bergegas ke jalan raya di mana orang ramai yang kelihatan bimbang memeriksa telefon bimbit mereka untuk mendapatkan maklumat atau membuat panggilan, kata seorang wartawan AFP.

"Saya baru sahaja merasakan gempa bumi, saya perlu keluar," kata seorang penghias yang kelihatan cemas, yang tidak mahu memberikan namanya, sedang dia melarikan diri daripada sebuah apartmen tingkat empat tempat dia bekerja berhampiran Menara Galata di bandar itu.

Gabenor Istanbul Davut Gul berkata tiada siapa yang maut akibat gempa bumi atau gempa susulan itu tetapi mengesahkan bahawa hospital-hospital sedang merawat "151 orang yang cedera apabila mereka melompat atau cuba melompat dari kawasan tinggi dalam keadaan panik".

Kecederaan-kecederaan itu tidak mengancam nyawa, tambahnya.

"Tiada kemusnahan pada bangunan kediaman di bandar ini tetapi sebuah bangunan terbiar runtuh di daerah Fatih tanpa menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan," menurut Pejabat Gabenor melalui catatannya di X.

Rakaman yang disiarkan oleh agensi berita negara, Anadolu menunjukkan menara masjid di daerah Beylikduzu di sebelah barat semenanjung bersejarah itu bergoyang semasa gempa awal.

Tetapi tiada laporan bangunan lain runtuh di bandar dengan 16 juta penduduk itu, kata Yerlikaya kepada stesen televisyen awam TRT.

Sekolah dan universiti, yang ditutup pada Rabu (24 Apr) ketika Turki menyambut Hari Kedaulatan Negara, akan ditutup sehingga hujung minggu ini, menurut kementerian pendidikan negara itu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata beliau sedang "mengikuti perkembangan dengan teliti".
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita