Gempa kembar Venezuela: Operasi menyelamat dijalankan; angka korban dijangka tinggi
Pegawai khidmat kecemasan di tapak bangunan runtun selepas gempa berkembar landa Caracas, Venezuela, 24 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Gaby Oraa)
Ia juga mendorong saintis memberi amaran tentang potensi angka korban yang tinggi dan kemusnahan besar-besaran di seluruh negara Amerika Selatan itu.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda kira-kira 160 kilometer di barat Caracas, disusuli dengan gegaran bermagnitud 7.5 kurang daripada seminit kemudian.
"Angka korban yang tinggi dan kerosakan meluas berkemungkinan besar berlaku, dan bencana ini dijangka merebak luas," jelas USGS, yang pada mulanya menganggarkan jumlah kematian berkemungkinan besar mencecah antara 10,000 hingga 100,000 orang.
Pihak berkuasa tidak memberikan jumlah rasmi negara bagi angka korban atau kecederaan dengan serta-merta, namun pegawai tempatan dan saksi melaporkan kejadian bangunan runtuh, operasi menyelamat, dan bilangan mangsa cedera yang semakin meningkat.
"Kami mendapati bangunan, kediaman, dan rumah-rumah sudah runtuh, dan kami sedang menguruskan keadaan dengan segala kemudahan keselamatan serta bantuan awam yang ada," kata Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, melalui siaran televisyen negara. "Jabatan bomba dan polis semuanya sudah dikerahkan."
Paparan video menunjukkan anggota penyelamat memanjat runtuhan sebuah bangunan yang roboh di ibu negara, manakala anggota keluarga yang dalam kesedihan meminta bantuan bagi menyelamatkan orang tersayang yang dipercayai terperangkap.
Di Chacao, sebuah perbandaran di timur Caracas, Datuk Bandar Gustavo Duque memberitahu saluran penyiaran Globovision bahawa dua struktur bangunan runtuh, 16 orang cedera, dan terdapat kemalangan jiwa, walaupun beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar kematian.
"Kami akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk menyelamatkan seramai mungkin mangsa," katanya.
Ramai warga Venezuela berada di rumah masing-masing ketika gempa melanda semasa hari cuti umum bagi memperingati kemenangan tentera pada tahun 1821, yang membantu memastikan kemerdekaan negara itu daripada Sepanyol.
"Sebaik sahaja ia bermula, kami mula mendengar orang ramai menjerit," kata Astrid Ramirez, seorang pegawai perhubungan awam berusia 41 tahun di barat Caracas. "Semua orang berlari turun melalui tangga."
Penduduk di seluruh Caracas, yang juga pernah dilanda gempa bumi maut bermagnitud 6.3 pada tahun 1967, bergegas mengosongkan tempat tinggal ketika bangunan-bangunan mula bergegar.
"Terdapat bunyi dentuman yang sangat kuat. Barang-barang terjatuh di dalam rumah, termasuk jag di dalam peti sejuk. Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini," kata Coro Martinez, 56 tahun, yang tinggal di timur Caracas.
Maria Romero, seorang pesara berusia 80 tahun di selatan Caracas, berkata polis membantu mengeluarkan beliau dari rumahnya. "Gempa bumi ini sangat menakutkan, malah lebih teruk daripada gempa pada tahun 1967," katanya.
Seorang lagi penduduk, pekerja pejabat wanita berusia 41 tahun yang enggan dikenali, berkata beliau menerima amaran gempa bumi di telefon bimbitnya sejurus sebelum gegaran menjadi lebih kuat.
"Ia adalah petang yang biasa, dan tiba-tiba telefon saya berbunyi mengeluarkan amaran gempa bumi," katanya. "Semasa saya mengambilnya dan mula mendengar apa yang disampaikan, saya pada mulanya merasakan gegaran kecil. Kemudian, dalam masa kurang daripada dua saat, segala-galanya mula bergegar."
Presiden sementara Delcy Rodriguez sudah memimpin negara itu sejak penyingkiran Presiden Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat pada Januari lalu. Beliau menyambut baik era baharu kerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain, terutamanya dalam sektor minyak, perlombongan, dan industri lain.
Kedutaan Amerika Syarikat di Caracas menyatakan bahawa ia sedang memantau rapat kesan menyusuli gempa tersebut dan menggesa rakyatnya di negara itu untuk mencari perlindungan yang selamat serta mengelakkan kawasan yang rosak.
Kereta-kereta bomba kelihatan di jalan-jalan sekitar Caracas, di mana beberapa buah bangunan mengalami kerosakan besar pada bahagian luaran bangunan.
Di Hospital de Clinicas Caracas, para kakitangan diminta untuk bekerja lebih masa pada syif malam bagi membantu merawat mangsa yang cedera, menurut seorang pekerja di sana.
Video yang dirakam di hospital berkenaan menunjukkan laluan koridor yang gelap dengan panel siling yang tergantung pada kabel serta serpihan plaster berserakan di atas lantai.
Beberapa video lain di media sosial turut menunjukkan kerosakan besar di lapangan terbang utama Venezuela, manakala penduduk melaporkan kejadian bangunan runtuh di La Guaira, sebuah bandar pantai berhampiran Caracas.
Pihak Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman video dari lapangan terbang dan La Guaira itu dengan serta-merta.
Beberapa perbandaran di Caracas membatalkan sesi persekolahan dan acara tempatan sehingga hari Isnin, memandangkan pihak berkuasa mula menilai jumlah kerosakan yang dialami.
AMARAN TSUNAMI DITARIK BALIK
Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat mengeluarkan ancaman tsunami untuk Puerto Rico serta Kepulauan Virgin Amerika Syarikat dan British selepas gempa bumi tersebut, dan menyatakan bahawa ombak berbahaya juga boleh menjejas Aruba, Curacao, dan Bonaire. Amaran berkenaan bagaimanapun ditarik balik kira-kira sejam kemudian.
Venezuela terletak di zon aktif seismik di mana Plat Caribbean bertemu dengan Plat Amerika Selatan.
Menurut data USGS, dianggarkan seramai 30,000 orang terkorban apabila gempa bumi kuat menyebabkan kemusnahan meluas di bandar Merida dan Caracas pada tahun 1812.
LAPORAN BERKAITAN
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.