Gempa Filipina: Angka korban meningkat kepada 45; 17 masih hilang
Beberapa kenderaan yang rosak akibat dihempap runtuhan menyusuli gempa bumi kuat di wilayah Mindanao, Filipina, pada 8 Jun 2026. (Gambar: Ernesto Torres Jr menerusi AP)
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina memaklumkan seramai 487 orang dilaporkan cedera, menurut laporan media tempatan, Philstar.
Daripada jumlah kematian yang disahkan, 33 direkodkan di Wilayah 12, dan 12 lagi di Wilayah 11, namun pihak berkuasa menyatakan angka itu masih tertakluk kepada pengesahan.
Gempa bumi yang berlaku pada 7.37 pagi waktu tempatan Isnin di luar pantai wilayah Sarangani menyebabkan kerosakan meluas di beberapa kawasan di Mindanao, meruntuhkan bangunan, mengganggu bekalan elektrik dan air serta mencetuskan tanah runtuh di beberapa lokasi.
Operasi mencari, menyelamat dan mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan di kawasan terjejas, sekali gus meningkatkan kemungkinan angka korban terus bertambah.
Gempa bumi itu mencetuskan sekurang-kurangnya 10 kejadian tanah runtuh, termasuk beberapa insiden di wilayah selatan Mindanao.
Di wilayah Sarangani, seramai 13 penduduk di Barangay New Aklan dilaporkan tertimbus selepas tanah runtuh melanda kawasan itu.
Pihak berkuasa turut menyiasat laporan bahawa sebuah kampung mungkin tertimbus sepenuhnya, namun kematian berkaitan kejadian itu masih belum dapat disahkan.
Bencana itu turut menyebabkan kerosakan meluas terhadap infrastruktur. Pegawai melaporkan kerosakan membabitkan 18 jambatan, 41 jalan raya dan 238 kemudahan awam, dengan beberapa laluan pengangkutan masih tidak dapat dilalui.
Gangguan bekalan elektrik menjejaskan kira-kira 130,000 pengguna, manakala hospital terus beroperasi dalam keadaan sukar dengan pesakit dirawat di khemah susulan gegaran susulan dan kebimbangan terhadap struktur bangunan.
Lebih 149,000 orang terjejas akibat bencana itu, termasuk lebih 41,000 penduduk yang hilang tempat tinggal. Hampir 3,000 rumah mengalami kerosakan.
Pemerintah Filipina memaklumkan bantuan kecemasan bernilai 4.8 juta peso (S$100,560) sudah diagihkan ketika usaha bantuan terus dijalankan di kawasan terjejas gempa bumi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.