Skip to main content

Dunia

Gempa di Mindanao: Bomba Malaysia terima 2 laporan gegaran yang dirasai penduduk di Tawau

Bomba menerima dua laporan kejadian gegaran yang dirasai penduduk di Wisma Persekutuan dan Taman Tawau di Sabah pada Isnin (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa di Mindanao: Bomba Malaysia terima 2 laporan gegaran yang dirasai penduduk di Tawau

Keadaan di kawasan pesisiran pantai di bandar Tawau dilihat tenang pada pagi 8 Jun 2026. (Gambar hiasan: Bernama)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 01:23PM
TAWAU: Bomba menerima dua laporan kejadian gegaran yang dirasai penduduk di Wisma Persekutuan dan Taman Tawau di Sabah pada Isnin (8 Jun).

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Madzlan Sarman bagaimanapun berkata setakat ini tiada kerosakan dilaporkan menyusuli gegaran itu.

“Kami membuat tinjauan sebaik menerima laporan pada pukul 8.00 pagi tadi,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata setakat pukul 11.00 pagi, keadaan air laut kelihatan normal, dengan pihak bomba menjalankan pemantauan di pesisiran pantai, terutama di kawasan penempatan penduduk sehingga amaran tsunami selesai.

“Antara lokasi pemantauan adalah di Jalan Traulsen termasuk Bukit Tinagat. Pihak bomba bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kami juga membuat persiapan di balai bersama Pasukan Polis Marin seperti melibatkan aset bot dan jaket keselamatan,” kata beliau.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di kawasan pesisiran pantai di bandar Tawau mendapati keadaan agak tenang dan air laut sedang pasang.

Meskipun terdapat beberapa pergerakan bot di laut, polis yang turut menjalankan pemantauan tidak membenarkan orang ramai berada berhampiran pantai ketika ini.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi (8 Jun) pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.

Berikutan itu, satu amaran tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi dan pukul 12.00 tengah hari.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita