Skip to main content

Dunia

Gempa dan tsunami Sulawesi Tengah: Lebih 2,000 orang disah maut

Seperti yang dijangkakan jumlah kematian akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah hampir dua minggu lalu terus bertambah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Oct 2018 08:05PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 12:14AM

PALU, INDONESIA: Seperti yang dijangkakan jumlah kematian akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah hampir dua minggu lalu terus bertambah.

Dalam sidang media siang tadi (9 Okt), pihak berkuasa Indonesia menyatakan lebih 2,000 orang kini disahkan mati, sebahagian besarnya di bandar Palu.

671 orang lagi masih hilang manakala lebih 10,000 mangsa, cedera.

Seorang mangsa gempa bumi dan tsunami yang dikenali sebagai Ibu Rusni, dirawat di Hospital Kabelota sejak 10 hari lalu.

Buku lalinya patah akibat ditimpa runtuhan bangunan semasa gempa bumi dan tsunami melanda Donggala, sebuah lagi bandar yang mengalami kemusnahan besar.

Beberapa bahagian tubuhnya juga luka manakala anak bongsunya meninggal dunia.

"Saya di hospital ini dari malam Sabtu kerana ini sudah sakit, sudah ditimpa runtuhan bangunan. Pokoknya sudah tidak bisa diangkat kaki ini. Saya sendiri bilang biarlah mati daripada mengalami ini. Dua anak saya sudah tidak tahu di mana. Anak yang meninggal itu 24 tahun, perempuan. Mayatnya sudah ditemui," kata Ibu Rusni.

Ibu Rusni hanyalah seorang daripada ratusan mangsa gempa dan tsunami yang dirawat di hospital berkenaan.

Bagaimanapun hanya 10 pegawai perubatannya bertugas atau 20 peratus daripada jumlah kakitangan sebelum bencana alam itu melanda.

Penyelaras Hospital Kabelota, Dr Widya Utari berkata kebanyakan kakitangan hospitalnya turut menjadi mangsa gempa dan tsunami itu.

"Biasanya satu syif itu untuk yang sore dan malam sekitar 50 orang. Tapi untuk sekarang kita hanya bahagi dua syif. Jadi tiap 12 jam baru kita ganti perawat, tidak sampai 10 orang.

Banyak perawat tidak dapat datang dan kita tidak boleh hubungi kerana jaringan telekomunikasi yang tidak baik," kata Dr Widya Utari, seorang pakar perubatan di Hospital Kabelota.

Selain amat kekurangan kakitangan, pasukan Dr Widya juga melakukan kebanyakan tugas mereka di luar bangunan hospital.

Meskipun suhu di luar kira-kira 30 darjah Selsius dan banyak debu, ramai pesakit mendesak agar dirawat di dalam khemah-khemah, bukan di dalam bangunan kerana bimbang terjadi lagi gempa kuat.

Bekalan ubat di hospital juga semakin berkurangan.

Menurut Dr Widya, buat masa ini, beliau bergantung kepada rakan-rakannya di Makassar untuk mendapatkan bekalan.

Sumber : CNA/MU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita