Skip to main content

Dunia

Gempa bumi kuat di selatan Filipina ragut 1 nyawa, cetus amaran tsunami

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggegarkan selatan Filipina pada Isnin (8 Jun) mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa dan menyebabkan beberapa bangunan runtuh, menurut polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa bumi kuat di selatan Filipina ragut 1 nyawa, cetus amaran tsunami

Beberapa kenderaan yang rosak akibat dihempap runtuhan menyusuli gempa bumi kuat di wilayah Mindanao, Filipina, pada 8 Jun 2026. (Gambar: Ernesto Torres Jr menerusi AP)

Diterbitkan : 08 Jun 2026 11:13AM
SINGAPURA: Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggegarkan selatan Filipina pada Isnin (8 Jun) mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa dan menyebabkan beberapa bangunan runtuh, menurut polis.

Bencana itu turut mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau tersebut.

Gempa luar pesisir itu berlaku pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 24 kilometer ke barat wilayah Sarangani di pulau Mindanao, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Sehubungan itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menggesa para penduduk supaya mematuhi amaran tsunami selepas gempa bumi kuat melanda perairan luar pesisir Mindanao pada pagi Isnin (8 Jun).

Amaran tsunami telah dikeluarkan bagi beberapa wilayah pesisir dan Encik Marcos berkata beliau telah mengarahkan semua agensi pemerintah yang berkaitan supaya menggerakkan serta menyelaraskan operasi tindak balas.

"Jangan tunggu. Nyawa anda lebih penting daripada apa sahaja yang ditinggalkan," kata beliau.

"Pemerintah negara sedang bertindak dan kami tidak akan mengabaikan Mindanao."

SEMUA PERINGKAT SEKOLAH DITUTUP DI KAWASAN TERJEJAS DI MINDANAO

Kelas-kelas bagi semua peringkat persekolahan di kawasan terjejas di Mindanao digantung menyusuli gempa bumi kuat yang melanda wilayah tersebut.

Encik Marcos mengarahkan penutupan itu sambil menyatakan bahawa "keselamatan anak-anak kita merupakan kepentingan utama".

Penggantungan sekolah akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

AMARAN TSUNAMI DIKELUARKAN DI SELURUH RANTAU

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran bahawa ombak tsunami berkemungkinan berlaku "dalam tempoh tiga jam akan datang" di kawasan-kawasan pesisir Filipina, Indonesia, Palau, Taiwan dan Papua New Guinea berikutan gempa bumi di Mindanao.

Operasi di Lapangan Terbang General Santos turut dihentikan sehingga pukul 3.00 petang waktu tempatan menyusuli gempa bumi tersebut.

Pihak lapangan terbang dalam satu pemberitahuan menyatakan bahawa ia sedang menilai kemudahan, peralatan dan keupayaan operasinya bagi memastikan keselamatan serta integriti operasi kekal terpelihara.

Semua penumpang yang terjejas dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan mereka.

Lapangan terbang itu menyediakan perkhidmatan kepada bandar General Santos di Mindanao.

LAPORAN BERHUBUNG BANGUNAN RUNTUH DI GENERAL SANTOS

Kejadian bangunan runtuh di bandar General Santos juga turut dilaporkan menyusuli gempa bumi kuat yang berlaku di luar pesisir Mindanao itu.

"Setakat ini, seorang dilaporkan maut dan empat lagi cedera. Ini hanyalah laporan awal," kata Sarjan Mejar Polis Bandar General Santos, Robert Dagon.

"Beberapa bangunan runtuh. Banyak bangunan yang terjejas, tetapi saya tidak dapat memperincikannya sekarang kerana kami sedang sibuk menjalankan operasi menyelamat."

Video yang disahkan dan dimuat naik ke Facebook menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera Jollibee runtuh, manakala satu lagi rakaman memperlihatkan sebuah bangunan di sebuah kampus sekolah tempatan turut roboh.

"Ya Tuhan, ia benar-benar runtuh! ... Bangunan itu benar-benar runtuh!" kedengaran seseorang menjerit dalam rakaman tersebut.

Bandar General Santos merupakan antara bandar utama paling selatan di Filipina dengan lebih 722,000 orang penduduk.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita