Gempa bumi 3.2 magnitud berlaku di Segamat, gegaran dirasakan di Pahang
Gempa bumi ketiga dalam empat hari melanda Segamat di Johor pada pagi Rabu (27 Ogos) dengan gegaran dapat dirasakan di seluruh negeri itu dan di bahagian selatan Pahang.
Gempa bumi sekuat 3.2 magnitud melanda selatan Segamat, Johor pada pagi Rabu (27 Ogos). (Gambar: MetMalaysia)
Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan gempa bumi sekuat 3.2 magnitud itu berlaku pada kira-kira pukul 8.59 pagi, iaitu 18 kilometer selatan Segamat, dengan kedalaman 10 kilometer.
"MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini," ia menyatakan dalam satu kenyataan di Facebook.
Gempa bumi pada Rabu menyusuli gempa bumi sekuat 4.1 magnitud yang berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi pada Ahad (24 Ogos) yang disusuli dengan satu lagi gempa bumi sekuat 2.8 magnitud pada pukul 9.00 pagi pada hari yang sama di Kluang.
Gempa bumi pada Ahad turut dapat dirasakan di kebanyakan kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang, kata pihak berkuasa Malaysia.
Ia mencetuskan rasa panik dalam kalangan sesetengah penduduk Segamat, dengan ada yang berkata mereka terdengar bunyi yang kuat.
Rakaman kejadian yang dirakam oleh kamera litar tertutup menunjukkan beberapa kenderaan bergegar buat seketika dan bunyi penggera kereta dihidupkan.
Gempa bumi kedua yang lebih kecil yang berlaku pada pukul 9.00 pagi juga dapat dirasakan di kawasan yang sama, dengan pusat gempa dikesan berada 28 kilometer barat laut Kluang, Johor.
Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan sejauh ini.
Menurut MetMalaysia, kedua-dua pusat gempa terletak berhampiran Zon Sesar Mersing.
Pakar geologi memberitahu Mediacorp bahawa kedua-dua gempa bumi lemah yang berlaku pada Ahad adalah peringatan bahawa beberapa sesar di Semenanjung Melayu adalah aktif, walaupun gempa bumi jarang berlaku di kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.