Skip to main content

Dunia

Gempa berukuran 8.2 boleh berlaku di 6 palung aktif di Filipina

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa berukuran 8.2 boleh berlaku di 6 palung aktif di Filipina

Gempa bumi kuat melanda Mindanao, Filipina pada 28 Jun 2025. (Gambar: MetMalaysia)

Diterbitkan : 09 Jun 2026 08:33PM
MANILA: Semua kawasan yang terletak di sepanjang enam palung aktif di Filipina berisiko mengalami gempa bumi sehingga berukuran 8.2 pada skala Richter, kata ketua Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) pada Selasa (9 Jun), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Palung berkenaan ialah Palung Filipina (terletak dari timur Luzon hingga tenggara Mindanao); Jurang Timur Luzon; Palung Manila; Palung Negros; Palung Sulu; dan Palung Cotabato, kata Pengarah Phivolcs Teresito Bacolcol dalam temu bual bersama PNA.

Gempa bumi luar pesisir Sarangani berukuran 7.8 magnitud menggegarkan beberapa kawasan di Mindanao pada Isnin lepas dan berpunca daripada Palung Cotabato.

Encik Bacolcol mengesahkan bahawa gempa itu setakat ini merupakan yang paling kuat melanda Filipina tahun ini.

Bagaimanapun, gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di negara itu masih gempa berukuran 8.1 magnitud di Mindanao pada 17 Ogos 1976.

Menjelaskan mengapa pusat gempa tidak terletak di Cotabato, Encik Bacolcol berkata: “Ia dinamakan Palung Cotabato, tetapi sebenarnya palung itu sangat panjang, melebihi 300 kilometer.”

Beliau berkata mana-mana kawasan yang terletak di sepanjang palung aktif berpotensi mengalami gempa bumi yang sangat kuat.

Memandangkan gempa bumi boleh berlaku tanpa amaran, Encik Bacolcol menasihatkan masyarakat pesisir pantai supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi apabila gegaran kuat berlaku.

“Penduduk yang tinggal di komuniti pesisir pantai perlu mengetahui tanda semula jadi berlakunya tsunami tempatan,” katanya.

Encik Bacolcol menyebut tiga tanda tsunami bakal berlaku, iaitu gegaran kuat, penurunan atau kenaikan paras laut secara mendadak serta bunyi deruman dari arah laut.

“Jika mana-mana tanda ini diperhatikan, mereka perlu segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita