Skip to main content

Dunia

Gempa 7.6 Richter landa pantai utara Jepun; amaran tsunami dikeluarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa 7.6 Richter landa pantai utara Jepun; amaran tsunami dikeluarkan
Gempa bumi di luar pantai Jepun pada 8 Disember 2025. (Petikan skrin: Laman web USGS)
TOKYO: Gempa bumi kuat melanda pantai utara Jepun pada Isnin (8 Dis), dengan agensi kaji cuaca negara itu mencatat dua ombak tsunami setinggi 40 sentimeter (cm).

Media tempatan menyatakan kecederaan turut dilaporkan.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa dengan magnitud 7.6 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 2.15petang GMT (10.15 malam waktu Singapura) di luar pesisir Misawa di pantai Pasifik Jepun, pada kedalaman 53 kilometer (km).

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami, dengan ombak pertama melanda sebuah pelabuhan di wilayah utara Aomori, di mana terletaknya Misawa, pada pukul 11.43 malam.

Pada 11.50 malam, ombak kedua tiba di bandar Urakawa di wilayah Hokkaido, kata agensi itu.

Kedua-dua ombak itu berukuran 40cm, tambahnya.

Penyiar awam NHK memetik seorang pekerja hotel di bandar Hachinohe di Aomori sebagai berkata bahawa terdapat beberapa kecederaan, dengan rakaman langsung menunjukkan serpihan kaca pecah bertaburan di jalan raya.

Gempa itu turut dirasai di bandar besar utara Sapporo, di mana penggera pada telefon bijak berbunyi untuk memberi amaran kepada penduduk.

Seorang wartawan NHK di Hokkaido menggambarkan gegaran mendatar selama kira-kira 30 saat yang menyebabkan beliau tidak mampu berdiri ketika gempa berlaku.

Agensi kaji cuaca itu sebelum ini memberi amaran bahawa tsunami dengan ketinggian sehingga 3 meter dijangka melanda pantai Pasifik Jepun.

Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di pinggir barat "Lingkaran Gunung Berapi" Pasifik dan merupakan antara negara paling aktif secara tektonik di dunia.

Kepulauan itu, yang mempunyai kira-kira 125 juta penduduk, mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun.

Sebahagian besar daripadanya adalah kecil, namun tahap kerosakan bergantung pada lokasi dan kedalamannya dari permukaan bumi.
Related article image
Tsunami setinggi 3m dijangka melanda bahagian tengah Pantai Pasifik Hokkaido dan Pantai Pasifik Wilayah Aomori pada 8 Disember 2025. (Peta: Agensi Meteorologi Jepun)
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita