Skip to main content

Dunia

Gempa 7.1 Richter gegar Jepun, 2 maut di Kumamoto

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa 7.1 Richter gegar Jepun, 2 maut di Kumamoto

Cerobong yang runtuh di kilang Yatsushiro milik Nippon Paper Industries selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan wilayah Kumamoto, Jepun. (Gambar: Kyodo menerusi Reuters)

Diterbitkan : 29 Jul 2026 09:29AM
TOKYO: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain cedera selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan wilayah Kumamoto di selatan Jepun pada Selasa (28 Jul).

Dua wanita berusia dalam lingkungan 20-an tahun disahkan maut selepas letupan berlaku di pusat beli-belah Aeon Mall Kumamoto, manakala seorang lagi terkorban dalam kejadian bangunan runtuh berhampiran pusat gempa.

Seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami serangan jantung dan komplikasi paru-paru, sementara lima lagi cedera tetapi tidak dalam keadaan kritikal.

Pasukan bomba, polis dan anggota Pasukan Pertahanan Awam Jepun terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat sepanjang malam bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap.

LETUPAN DAN KEROSAKAN BESAR

Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan berlaku letupan gas di pusat beli-belah berkenaan selepas gempa bumi tersebut melanda.

Rakaman televisyen menunjukkan sebahagian struktur bangunan runtuh, manakala serpihan bertaburan di kawasan tempat letak kereta.

Gempa itu turut menyebabkan jalan raya merekah, beberapa bangunan runtuh atau terbakar, perkhidmatan kereta api serta kereta api laju Shinkansen digantung, manakala Lapangan Terbang Kumamoto menutup landasannya.

Sekitar 48,000 rumah terputus bekalan elektrik, menurut Kyushu Electric Power.

Seramai 300,000 penduduk turut diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara ketika gempa susulan masih berlaku.

PENGELUAR CIP HENTI OPERASI

Beberapa syarikat utama termasuk TSMC, Sony, Fujifilm, Tokyo Electron dan Honda memindahkan pekerja atau menggantung sementara operasi di kilang masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

TSMC bagaimanapun memaklumkan kemudahannya tidak mengalami kerosakan dan operasi sedang disambung semula secara berperingkat.

PENDUDUK DINASIHATKAN TERUS BERWASPADA

Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata pemerintah masih menilai tahap kerosakan di kawasan-kawasan terjejas.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menasihatkan para penduduk supaya terus berwaspada terhadap gempa susulan dan risiko berlaku tanah runtuh sekurang-kurangnya sepanjang minggu ini.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai risiko strok haba berikutan suhu yang dijangka mencecah 34 darjah Celsius.

Sementara itu, Penguasa Kawal Selia Nuklear Jepun mengesahkan tiada sebarang keadaan luar biasa dikesan di loji janakuasa nuklear berhampiran kawasan terjejas.

Gempa bumi besar yang melanda Kumamoto sedekad lalu mengorbankan 275 orang serta mencederakan lebih 2,700 yang lain.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita