Gelung hos SCDF lama diubah jadi mainan beruang dan hidupan liar di Laos
Diperbuat daripada bahan-bahan tahan lama supaya ia lasak digunakan dalam operasi memadamkan api kebakaran, kini beberapa gelung hos Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang tidak lagi digunakan akan dijadikan sebagai permainan dan alat pembelajaran untuk haiwan-haiwan dan beruang di sebuah tempat perlindungan hidupan liar di Laos.

(Gambar: ACRES)
Secara keseluruhannya, 10 gelung hos akan didermakan kepada sebuah kumpulan pemuliharaan di Laos.
Demikian menurut SCDF, Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES) dan Dana Amanah Pemuliharaan Lao bagi Hidupan Liar (LCTW) dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Sabtu (30 Dis).
"Disebabkan oleh kekurangan kemudahan pemadaman api di Laos, LCTW tidak dapat menggunakan gelung-gelung hos yang ada di negara ini.
"Justeru, gelung-gelung hos hasil derma SCDF adalah sangat bermakna," demikian menurut kedua-dua badan itu dalam satu kenyataan bersama.
Berpangkalan di Laos, LCTW merupakan sebuah pertubuhan tidak mengaut keuntungan yang ditubuhkan pada tahun-tahun 1990an dan dibangunkan secara rasmi pada 2018.
Menurut lamannya, LCTW menyelamatkan dan memulihara hidupan liar daripada para pedagang haram dan memberikan perlindungan kepada sekitar 400 haiwan daripada 700 spesis berbeza.
"Dengan kepelbagaian hidupan liar yang dijaga oleh LCTW, termasuk primat, pangolin dan beruang, gelung-gelung hos yang tahan lasak itu akan digunakan semula dan bantu mempertingkatkan kehidupan haiwan-haiwan tersebut yang telah diselamatkan," menurut kedua-dua pertubuhan bukan pemerintah itu dan SCDF.
Ketua pegawai eksekutif bersama Acres, Encik Kalai Vanan Balakrishnan berkata kepada Mediacorp bahawa memandangkan gelung-gelung hos itu dihasilkan untuk kegunaan memadam kebakaran, ia diperbuat dengan bahan-bahan yang sangat utuh, bermakna ia boleh digunakan semula bagi sebab berkaitan sekitaran atau haiwan.
Dengan sedikit kemahiran bertukang dan kreativiti, ia juga "tidak terlalu sukar" untuk menggunakan semula gelung-gelung hos tersebut bagi kegunaan lain oleh kumpulan hidupan liar dan mesra alam, katanya.
Acres sebelum ini telah menerima lebih daripada 40 gelung hos yang sebahagian besar digunakan untuk membina tempat perlindungan bagi haiwan musang sawit dan spesis monyet 'Bonnet macaque'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.