Skip to main content

Dunia

Gelombang PN sudah sampai ke Johor, kata Sanusi

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang PN sudah sampai ke Johor, kata Sanusi

Gambar: Sinar Harian

Diterbitkan : 24 Aug 2023 01:50PM Dikemas Kini : 24 Aug 2023 01:51PM
MUAR: Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menjadi bukti penularan gelombang Perikatan Nasional (PN) di Johor.

Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penularan itu sekali gus menjadi isyarat penting terhadap kebangkitan rakyat terutamanya berdasarkan kepada prestasi PN yang cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

"Gelombang PN sudah sampai ke selatan tanah air. Gelombang ini sampai ke Johor... masuk ikut Muar dan akan sampai ke Johor Bahru... kalau Singapura pun pilihan raya, kita ambil sekali.

"Aura kemenangan yang bakal berlaku di Simpang Jeram dan Pulai adalah penentu sebagai isyarat penting kebangkitan rakyat di negeri ini.

"Namun, apa yang penting adalah rakyat perlu menghentikan kerakusan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat negara ini," katanya, lapor Sinar Harian.

Encik Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Markas PAS Bakri pada Rabu (23 Ogos).

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin Ayub meninggal dunia dunia pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Dr Shahrudin Jamal berkata, hasil kajian mendapati lebih 80 peratus orang Melayu dan kira-kira lima peratus (bukan Melayu) memberikan sokongan kepada PN pada PRN baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Malah katanya, kemenangan PN adalah hasil kerja keras daripada semua jentera sama ada dari Johor mahu pun jentera serta rakan-rakan seperjuangan di seluruh negara.

"Oleh yang demikian, kita harus bekerja keras tanpa mengira masa sama ada siang atau malam dengan menggembeleng tenaga untuk bertemu secara dekat kira-kira 40,379 pengundi berdaftar," katanya, seperti dipetik oleh Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita