Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gelombang kelima 'jejas hebat' keupayaan Hong Kong tangani COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang kelima 'jejas hebat' keupayaan Hong Kong tangani COVID-19

(Gambar: Louise Delmotte/AFP)

Diterbitkan : 14 Feb 2022 01:42PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 01:42PM

HONG KONG: Hong Kong sedang dibebani 'serangan' jangkitan COVID-19, kata pemimpinnya Carrie Lam pada Isnin (14 Feb), meskipun jumlah kematian dalam hab kewangan global itu kekal rendah sejak pandemik itu bermula dua tahun lalu.

Jumlah jangkitan harian meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, daripada kira-kira 100 kes pada awal Februari kepada lebih 1,300 pada 13 Februari, dengan pihak berkuasa berusaha untuk mengawal pandemik.

Dengan jumlah kes semakin meningkat, Cik Lam berkata pentadbirannya akan bekerjasama dengan pegawai China dalam menangani keadaan itu.

China memberi jaminan akan membantu bandar itu dengan ujian, rawatan dan kuarantin serta mendapatkan pelbagai bekalan termasuk kit ujian pantas, peralatan perlindungan hingga kepada sayuran segar.

"Serangan gelombang kelima pandemik memberi tamparan hebat kepada Hong Kong dan mengatasi kapasiti pengendalian bandar itu," katanya, sambil menambah bahawa lonjakan kes itu memanjangkan tempoh masa sebelum pesakit yang dijangkiti boleh mengakses kemudahan pengasingan.

"Keadaan ini sangat tidak diingini dan pemerintah bimbang mengenainya," katanya.

Dengan sistem jagaan kesihatan sudahpun tertekan, pakar perubatan memberi amaran bandar itu bakal menyaksikan 28,000 jangkitan harian pada akhir Mac, dengan warga emas yang tidak divaksin menjadi kebimbangan khusus.

Katil hospital bagi pesakit COVID-19 sudah berada pada tahap 90 peratus, menurut data daripada Penguasa Hospital manakala kemudahan pengasingan juga hampir mencapai kapasiti penuh.

Menurut Ketua Pengurus Penguasa tersebut, Larry Lee, Hong Kong mengutamakan warga emas, kanak-kanak dan mereka yang dalam keadaan serius di hospital.

Cik Lam berkata pihak berkuasa akan berusaha keras untuk melaksanakan strategi sifar jangkitan koronavirus 
Hong Kong, seperti di China.

Wilayah itu mencatatkan sekitar 24,000 jangkitan dan lebih 200 kematian, kurang berbanding banyak bandar utama dunia.

Majlis Perundangan Hong Kong dijadual membincangkan suntikan HK$27 billion (S$4.66 bilion) bagi membantu perniagaan dan individu yang terjejas oleh sekatan ketat bandar tersebut.

Sumber : Reuters/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa