Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gelombang hijau bukan sebab kebangkitan PAS ataupun politik Islam: KJ

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Gelombang hijau yang tercetus dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia bukanlah satu tanda kebangkitan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun politik Islam di negara itu.

Sebaliknya, kemenangan besar PAS dalam PRU15 adalah hasil undi Melayu di merata Malaysia yang semakin terbahagi.

Lantaran itu, masyarakat tidak perlu risau dengan tanggapan bahawa seperti ada reaksi melampau di seberang tambak.

Zamil Pelawat Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp pada Selasa (9 Mei).

APA ITU 'GELOMBANG HIJAU'?

Dalam PRU15 tahun lalu, PAS menang 49 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat sekali gus menjadi parti paling besar dalam parlimen Malaysia sekarang ini.

PAS juga menang kesemua 14 kerusi parlimen di negeri Kelantan.

Juga buat pertama kalinya dalam sejarah, menang kesemua lapan kerusi di Terengganu selain mencatat kemajuan kukuh di Perlis dan Kedah.

PAS malah mengejutkan ramai dengan merampas kerusi Permatang Pauh daripada puteri reformasi Nurul Izzah di Pulau Pinang, yang sememangnya kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
 
Kejayaan PAS disifatkan para pengamat politik sebagai satu fenomena "bangkit dan bangkitnya" PAS dalam politik Malaysia.

Sungguhpun demikian terdapat keprihatinan jika gelombang hijau berkenaan juga menandakan politik Islam yang mungkin menjejas perpaduan negara tersebut.

BUKAN REAKSI ISLAMIS TETAPI PERPECAHAN UNDI

Encik Khairy yang juga merupakan mantan Menteri Kesihatan Malaysia bagaimanapun tidak setuju dengan pandangan yang diutarakan.

"Saya sebenarnya tak berapa senang dengan istilah gelombang hijau ini. Seolah-olah gelombang hijau ini adalah satu perkembangan di mana ada kebangkitan Islam yang politikal dan juga ekstrem. Sebenarnya apa yang berlaku di Malaysia sekarang ini bukanlah gelombang hijau, tetapi lebih kepada perpecahan undi Melayu.

"Ini adalah hasil daripada masalah UMNO iaitu sekarang ini pengundi Melayu tidak melihat UMNO sebagai wadah yang boleh dipercayai. Satu ketika dahulu, UMNO adalah parti dominan di kalangan undi Melayu. Sekarang PAS nombor satu, Bersatu nombor dua, UMNO nombor tiga," ujar beliau.

Pengundi Melayu, jelas Encik Khairy, tidak yakin dengan UMNO kerana parti itu terpalit dengan tuduhan rasuah serta salah guna kuasa.

Pada masa yang sama, beliau menambah PH dalam minda orang Melayu tidak begitu ke depan dalam menerajui agenda Melayu yang diinginkan pengundi.

Lantaran itu, orang Melayu lebih sanggup memberikan undi mereka kepada PAS ataupun Bersatu.

Encik Khairy berkata: "Ini tidak bermaksud bahawa tidak ada sokongan positif untuk PAS dan Bersatu, tetapi jauh daripada istilah dan juga tanggapan ia adalah gelombang hijau seolah-olah Islam yang ekstrem sedang mendapat sambutan di Malaysia, tidak, Malaysia masih lagi sebuah negara Muslim, yang sederhana, yang progresif."

POLITIK IDENTITI SUDAH LAMA ADA DI M'SIA; TIDAK ADA NARATIF LAIN

Perkembangan diraih PAS sebenarnya sudah disaksikan sebelum ini pada sekitar tahun 1990-an.

Encik Khairy juga bersetuju bahawa politik identiti khususnya Melayu dan Islam bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia.

Bezanya kali ini, jelas beliau, adalah pembahagian politik di antara parti kerajaan dan parti pembangkang.

"Kerajaan yang ada pada hari ini didukung oleh pengundi bukan Melayu dan pembangkang didukung oleh pengundi Melayu dan diwakili oleh ahli-ahli parlimen Melayu.

"Ini boleh menjejaskan sikit perpaduan nasional tetapi hendak istilahkan ataupun hendak buat kesimpulan bahawa ini adalah semua disebabkan kerana kebangkitan Islam seolah-olah apa yang dianggap, saya rasa itu tak betul dan itu adalah mungkin satu usaha nak memomokkan orang yang untuk melihat bahawa reaksi Islamis di Malaysia," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkongsi pengundi Melayu mengikuti arus gelombang tersebut kerana masih belum ada naratif politik yang menguntungkan mereka.

Ini kerana walaupun soal identiti sama ada kaum ataupun agama itu penting untuk orang Melayu Malaysia, mereka juga melihat kepada faktor lain seperti soal kepimpinan, agenda pentadbiran dan soal dasar-dasar yang dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian mereka.
Lantas, Encik Khairy menjelaskan apabila tidak ada sesuatu yang meyakinkan mereka, mereka akan membuat pilihan berdasarkan kepada apa yang ada di depan mata mereka.

DILEMA MELAYU

Kedudukan sedemikian yang membuat pengundi Melayu terperangkap dalam satu dilema iaitu siapa yang perlu mereka undi.

Encik Khairy turut menekankan dilema Melayu itu tidak akan berakhir selagi mereka berada dalam kedudukan ekonomi seperti sekarang ini.

Beliau berkata: "Dilema itu terus akan terus dimainkan secara politik dan akan terus dirasai oleh orang Melayu tetapi tidak bermaksud bahawa kita tidak boleh matang dalam politik, apa yang mungkin kita boleh belajar daripada susunan politik hari ini adalah kerjasama."
Beliau juga berkongsi sejarah PAS misalnya yang sudah bekerjasama dengan hampir semua parti politik di Malaysia termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP).

DAP sendiri sanggup bekerjasama dengan seteru ketat UMNO demi membentuk kerajaan perpaduan sekarang.

Jelas bagi Encik Khairy dilema Melayu juga mungkin menyebabkan landskap politik Malaysia sekarang ini boleh dianggap sebagai matang ataupun apa-apa saja boleh berlaku.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan