Gelombang haba landa Kanada, cuaca cecah rekod 46.6°C
Gelombang haba melanda barat Kanada dan sebahagian besar barat laut Pasifik Amerika Syarikat (AS), menyebabkan suhu melonjak tinggi membawa amaran panas terik dari Oregon, hingga ke wilayah Artik Kanada pada Ahad.

(Gambar: Reuters)
OTTAWA: Gelombang haba melanda barat Kanada dan sebahagian besar barat laut Pasifik Amerika Syarikat (AS), menyebabkan suhu melonjak tinggi membawa amaran panas terik dari Oregon, hingga ke wilayah Artik Kanada pada Ahad.
Laman web cuaca Environment Canada melaporkan, titik panas Lytton di British Columbia, kira-kira 250 kilometer dari timur laut Vancouver memecahkan rekod suhu paling tinggi di negara itu iaitu 46.6 darjah Selsius.
Lebih 40 suhu tinggi yang baru dicatatkan di seluruh wilayah pada hujung minggu, termasuk di bandar peranginan ski Whistler.
Tekanan tinggi di kawasan tanah tinggi yang memerangkap udara panas di rantau itu dijangka terus memecahkan lebih banyak rekod sepanjang minggu ini.
Environment Canada mengeluarkan amaran kepada British Columbia, Alberta, dan beberapa bahagian Saskatchewan, Yukon dan Wilayah Barat Laut.
"Gelombang panas yang berpanjangan dan berbahaya, akan berlanjutan hingga minggu ini," katanya sambil meramalkan suhu menghampiri 40 darjah Selsius di beberapa wilayah, atau 10 hingga 15 darjah Selsius lebih panas daripada biasa.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) mengeluarkan amaran serupa mengenai "gelombang panas berbahaya" yang menyaksikan kenaikan suhu sehingga lebih 30 darjah Fahrenheit di atas paras normal di beberapa bahagian Washington dan Oregon.
Isnin dijangka menjadi hari paling panas di bandar besar seperti Seattle dan Portland, dengan rekod tertinggi sepanjang masa mungkin berlaku di kedua-dua bandar itu.
Ahli kaji cuaca Environment Canada, David Phillips memberitahu stesen penyiaran CTV bahawa suhu di barat Kanada lebih panas daripada Dubai.
Katanya, risiko kebakaran hutan meningkat, dan paras air di tasik dan sungai menjadi lebih rendah.
Kebanyakan kedai melaporkan alat penghawa dingin mudah alih dan kipas habis dijual, sementara ada bandar membuka pusat penyejukan kecemasan dengan pekerja turun ke jalanan untuk mengedarkan air dan topi.
Beberapa klinik membatalkan program vaksinasi COVID-19 dan sekolah mengumumkan akan ditutup hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.