Gelombang haba ancam cetus kebakaran hutan di Australia di tengah usaha pembendungan
Para anggota bomba dijangka menghadapi cabaran memadamkan kebakaran dengan suhu cuaca yang melonjak dan tiupan angin kencang, menimbulkan ancaman lebih banyak kebakaran di pantai timur Australia, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (31 Jan).
Gambar fail kesan kebakaran belukar di New South Wales, Australia (Gambar: Reuters/Thomas Peter)
SYDNEY: Para anggota bomba dijangka menghadapi cabaran memadamkan kebakaran dengan suhu cuaca yang melonjak dan tiupan angin kencang, menimbulkan ancaman lebih banyak kebakaran di pantai timur Australia, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (31 Jan).
Sejak September, Australia berusaha keras memadamkan kebakaran-kebakaran belukar yang sudah membunuh 33 orang dan sekitar satu bilion haiwan, selain memusnahkan 2,500 rumah sedang negeri-negeri dengan jumlah penduduk paling ramai meliputi kawasan seluas lebih 11.7 juta hektar dijilat api.
Dengan suhu di seluruh New South Wales (NSW) dan Victoria diramalkan mencecah 40 darjah Celsius pada Jumaat, pihak berkuasa menyatakan beberapa kebakaran boleh merebak meskipun dengan usaha terbaru oleh pihak bomba untuk mengalihkan bahan-bahan mudah terbakar.
"Kami telah berusaha sedaya upaya minggu ini ... namun ada beberapa kawasan yang terdedah," kata Encik Rob Rogers, timbalan pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW kepada Sky News. "Ancaman sangat hebat pada hujung minggu."
Kebakaran hutan biasa berlaku pada musim panas yang terik di Australia, tetapi kebakaran marak semasa musim bunga hemisfera selatan tidak pernah berlaku sebelum ini. Para pakar berkata perubahan iklim menyebabkan kawasan belukar menjadi sangat kering.
Krisis ini telah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Scott Morrison, yang menurut para pengkritik tidak bertindak secukupnya untuk menangani kesan perubahan iklim.
Dalam usahanya meredakan kemarahan orang ramai, Encik Morrison pada Jumaat mengikrarkan pembiayaan bagi projek pengurangan pengeluaran gas pencemaran sebagai sebahagian daripada pakej AUS$2 bilion (S$1.83 bilion) untuk meningkatkan bekalan gas di NSW.
Encik Morrison berkata gas tambahan akan menstabilkan grid elektrik NSW, yang membolehkan penjanaan tenaga boleh diperbarui yang lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.