Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gelombang baru COVID-19 di Malaysia mungkin berlaku lebih awal daripada jangkaan: Menteri

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang baru COVID-19 di Malaysia mungkin berlaku lebih awal daripada jangkaan: Menteri

(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 24 Jun 2022 09:29AM Dikemas Kini : 24 Jun 2022 09:29AM
REMBAU: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata gelombang baru jangkitan COVID-19 di negara itu mungkin berlaku lebih awal daripada jangkaan dua hingga tiga bulan akan datang berdasarkan peningkatan kes harian.

Encik Khairy bagaimanapun berkata negara itu bersedia menghadapi gelombang baru COVID-19 dan menegaskan kenyataannya bukan untuk menakutkan rakyat tetapi lebih kepada langkah pencegahan supaya dapat mengawalnya ketika fasa peralihan ke endemik kini.

“Saya rasa mungkin gelombang itu lebih awal berdasarkan kepada ramalan yang kita sedang buat. Contohnya hari ini, kes sudah melebihi 2,700 kes, sebelum ini paras kita 1,000 hingga 2,000 kes tetapi sejak dua tiga hari ini, kes melebihi 2,000.

"Selain itu kes meningkat dengan dua kluster baru dan semua negeri menunjukkan peningkatan kes, kecuali di Selangor, Johor, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan menunjukkan sedikit penurunan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan ‘Makmal Tidur’ di Hospital Rembau di sini pada Khamis (23 Jun).

Beliau sekali lagi menyarankan warga emas berusia 60 tahun ke atas agar mengambil dos penggalak vaksinasi COVID-19 sebagai persediaan menghadapi gelombang seterusnya.

Media sebelum ini melaporkan Encik Khairy berkata gelombang baru diramalkan akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Walaupun sudah masuk ke fasa peralihan, COVID-19 belum berakhir masih ada dengan kita, ini kita perlu lalui. Sebab itu banyak langkah-langkah pencegahan kesihatan awam masih dikekalkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata tiada jangkitan kes cacar monyet dilaporkan di negara itu setakat ini. 
Sumber : Bernama/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa