Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gelombang baru COVID-19 di Eropah, kempen dos penggalak perlahan

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang baru COVID-19 di Eropah, kempen dos penggalak perlahan

Seorang pesakit COVID-19 terlantar di sebuah hospital di Eropah (Gambar: AFP/Thomas Kienzle)

FRANKFURT/LONDON: Gelombang baru COVID-19 berlaku di Eropah sejajar dengan ketibaan cuaca lebih sejuk, lapor Reuters.

Pakar kesihatan awam memberi amaran kekeliruan terhadap jenis vaksin serta sikap 'lelah' vaksin mungkin akan menghadkan pengambilan dos penggalak.

Kebanyakan kes jangkitan pada musim panas disebabkan subvarian Omicron BA.4/5, dengan subvarian Omicron yang lebih baru semakin merebak.

Ratusan bentuk baru Omicron sedang dipantau saintis, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini.

Data WHO yang dikeluarkan lewat Rabu menunjukkan kes di Kesatuan Eropah (EU) mencecah 1.5 juta minggu lalu, naik lapan peratus daripada minggu sebelumnya, walaupun kurangnya jumlah ujian yang dijalankan. Di peringkat global, bilangan kes terus merosot.

Bilangan kemasukan ke hospital di banyak negara dalam blok 27 negara itu, serta Britain, meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada minggu berakhir pada 4 Oktober, kemasukan ke hospital akibat COVID-19 dengan simptom melonjak hampir 32 peratus di Itali, manakala kemasukan ke unit rawatan rapi meningkat kira-kira 21 peratus, berbanding minggu sebelumnya, menurut data yang dikumpulkan oleh yayasan saintifik bebas, Gimbe.

Sepanjang minggu yang sama, kemasukan ke hospital di Britain menyaksikan peningkatan 45 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Vaksin yang disesuaikan bagi Omicron dilancarkan di Eropah pada September, dengan dua dos suntikan bagi menangani BA.1 serta subvarian BA.4/5. Ia disediakan bersama vaksin generasi pertama sedia ada.

Pegawai Eropah dan British mengesahkan dos penggalak terbaru itu hanya untuk kumpulan tertentu, termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun terjejas.

Perkara yang lebih merumitkan adalah "pilihan" vaksin bagi dos penggalak, yang mungkin akan menambah kekeliruan, kata pakar kesihatan awam.

Bagaimanapun kesanggupan penduduk untuk mendapatkan satu lagi dos, sekali gus menjadi dos keempat atau kelima bagi sesetengah orang, adalah tipis.

"Bagi mereka yang mungkin kurang prihatin mengenai risiko, mesej bahawa semuanya telah berakhir ditambah dengan kurangnya sebarang kempen besar-besaran berkemungkinan mengurangkan pengambilan," kata Martin McKee, profesor kesihatan awam Eropah di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Ada yang mungkin tersilap anggap bahawa setelah menerima suntikan lengkap dos asas dan kemudian jatuh sakit dengan COVID bermakna mereka akan kekal kebal, tambahnya.

Sejak 5 September, apabila pelancaran vaksin baru bermula di EU, kira-kira 40 juta dos vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech dan Moderna dihantar ke negara anggota, menurut data dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).

Bagaimanapun, data ECDC itu menunjukkan dos vaksin mingguan yang diberikan di EU hanya antara satu juta dan 1.4 juta pada September, berbanding dengan enam hingga 10 juta seminggu dalam tempoh tahun sebelumnya.

Mungkin cabaran terbesar ialah persepsi bahawa pandemik telah berakhir, mewujudkan rasa selamat yang palsu.

"Mesti ada sedikit rasa leka seolah-olah kehidupan telah kembali normal - sekurang-kurangnya berkaitan dengan COVID dan orang ramai kini mempunyai kebimbangan lain berkaitan kewangan dan peperangan," kata Adam Finn, pengerusi ETAGE, sebuah kumpulan pakar yang menasihati WHO mengenai penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin di Eropah.

Sementara itu, pegawai Britain minggu lalu memberi amaran penularan baru selesema dan kebangkitan semula kes COVID-19 boleh memberi tekanan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang sudah berlarutan.
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan