Skip to main content

Dunia

Gegaran dirasai di Bangkok susuli gempa 5.4 skala Richter di pesisir Myanmar

Bangkok mengalami gegaran lemah pada pagi Khamis (21 Ogos) menyusuli gempa bumi yang berlaku di pesisir pantai selatan Myanmar.

Anggaran Waktu Membaca:
Gegaran dirasai di Bangkok susuli gempa 5.4 skala Richter di pesisir Myanmar

Bangkok mengalami gegaran lemah menyusuli gempa bumi yang berlaku di pesisir pantai selatan Myanmar.(Gambar: Petrovich9/iStock)

BANGKOK: Bangkok mengalami gegaran lemah pada pagi Khamis (21 Ogos) menyusuli gempa bumi yang berlaku di pesisir pantai selatan Myanmar.

Bahagian Pemantauan Gempa Bumi Jabatan Meteorologi Thailand melaporkan gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter itu melanda kawasan pesisir pantai selatan Myanmar pada Khamis, pukul 9.58 pagi.

Bahagian itu memaklumkan terdapat laporan gegaran kecil yang dapat dirasai di beberapa bangunan tinggi di Bangkok.

Dalam satu kenyataan, jabatan berkenaan menyatakan bahawa gempa bumi itu tidak memberi kesan kepada Thailand.

Sementara itu, media tempatan Thailand, The Nation melaporkan tiada kerosakan dilaporkan di Thailand walaupun gegaran dirasai di daerah Din Daeng, Watthana, Ratchathewi, Mueang dan Bang Rak di Bangkok.

Laporan itu menyebut gegaran yang berlaku cukup kuat untuk mendorong penghuni bangunan Kementerian Buruh di daerah Din Daeng keluar menyelamatkan diri.

Gegaran lemah yang berlarutan kira-kira 10 saat juga dilaporkan di Khlong Toei Nuea, daerah Watthana, manakala penduduk di kawasan lain mengadu bangunan bergegar seketika.

Pada Mei lalu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Thailand menjalankan ujian bagi sistem amaran bencana melalui telefon mudah alih sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Pada 28 Mac lalu, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Wilayah Sagaing, Myanmar, mencetus gegaran berukuran 6.4 pada skala Richter di beberapa bahagian Thailand.

Gegaran itu menyebabkan runtuhan di tapak binaan bangunan baharu Pejabat Audit Negara di daerah Chatuchak, Bangkok, yang menimbus kira-kira 90 pekerja binaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita