GDP suku pertama M'sia catat pertumbuhan 0.7%
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada suku pertama. Ini meskipun para pakar sebelum ini menjangkakan penguncupan memandangkan pandemik COVID-19 menjejas teruk eksport dan permintaan domestik.

(Gambar: Lim Huey Teng)
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada suku pertama. Ini meskipun para pakar sebelum ini menjangkakan penguncupan memandangkan pandemik COVID-19 menjejas teruk eksport dan permintaan domestik.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tumbuh 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu, lebih baik daripada kemerosotan 1.5 peratus yang diramalkan dalam tinjauan Reuters.
Sungguhpun demikian, ia tetap lebih rendah berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Menurut Bank Negara Malaysia, penularan virus korona itu menjejas pertumbuhan ekonomi utama dan ekonomi serantau, dengan banyak negara menguatkuasakan sekatan perjalanan yang melumpuhkan permintaan dan kegiatan ekonomi, termasuk di Malaysia.
"Pandemik ini telah menimbulkan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini," kata Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam satu sidang media maya.
Ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara itu terjejas teruk akibat kemerosotan yang sangat ketara pada industri pelancongan dan permintaan yang melemah bagi komoditi seperti minyak kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli. Ini diburukkan lagi dengan kegiatan domestik yang lemah akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pergerakan dan perniagaan berikutan krisis COVID-19.
Menurut Cik Nor Shamsiah, Bank Negara tidak dapat memberikan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi seluruh tahun 2020 disebabkan oleh ketidaktentuan yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19.
Bank Negara sebaliknya meramalkan ekonomi akan menguncup pada suku kedua namun aktiviti ekonomi dijangka meningkat secara bertahap-tahap pada separuh kedua.
April lalu, Bank Negara meramalkan ekonomi akan susut sebanyak 2 peratus atau tumbuh setakat 0.5 peratus tahun ini.
Malaysia, yang sehingga pertengahan April lalu mencatat jumlah kes virus korona tertinggi di Asia Tenggara, menguatkuasakan sekatan perjalanan yang ketat ke atas pergerakan dan perniagaan selama enam minggu. Kerajaan Malaysia kini sudah mula melonggarkan beberapa larangan dalam usaha untuk mencergaskan semula ekonomi.
Eksport jatuh 4.7 peratus pada Mac semasa PKP mula dikuatkuasakan, menjunam dengan ketara berbanding pertumbuhan 11.8 peratus yang diraih pada bulan sebelumnya.
Pengeluaran kilang turut terjejas pada Mac, menguncup 4.9 peratus, kemerosotan paling ketara dalam tempoh hampir sedekad.
Inflasi utama terus menunjukkan trend yang menuruh bagi tahun ini, dengan bulan Mac menyaksikan kemerosotan 0.2 peratus disebabkan oleh harga minyak yang lebih murah.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.