Skip to main content

Dunia

Gaza perlukan 200,000 unit rumah pasang siap penuhi keperluan kemanusiaan

Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit rumah pasang siap bagi memenuhi keperluan kemanusiaan segera keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta menyediakan perlindungan lebih selamat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk, menurut Bilik Operasi Pemerintah Palestin pada Ahad (28 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
Gaza perlukan 200,000 unit rumah pasang siap penuhi keperluan kemanusiaan
Takungan air selepas hujan lebat di kejiranan Zeitoun di Gaza City. (Gambar fail: AFP)
Diterbitkan : 29 Dec 2025 07:28AM Dikemas Kini : 29 Dec 2025 07:30AM
  • Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit rumah pasang siap bagi memenuhi keperluan kemanusiaan segera keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta menyediakan perlindungan lebih selamat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk, menurut Bilik Operasi Pemerintah Palestin pada Ahad (28 Dis).
  • Dalam kenyataannya, bilik operasi itu memaklumkan bahawa ribut yang melanda ketika ini telah menenggelamkan dan memusnahkan ribuan khemah di seluruh Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
  • Menurut bilik operasi itu selanjutnya, pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan kini berdepan kesukaran memenuhi keperluan mendesak penduduk yang kehilangan tempat tinggal berikutan kekurangan bekalan yang meruncing serta sekatan berterusan oleh Israel terhadap kemasukan bantuan ke Carikan Gaza.
  • Bilik operasi itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa agar memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan kemasukan segera rumah pasang siap dan bekalan perlindungan lain bagi meringankan penderitaan penduduk serta mengurangkan risiko ancaman nyawa yang mereka hadapi.
Dijana oleh AI
RAMALLAH: Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit rumah pasang siap bagi memenuhi keperluan kemanusiaan segera keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta menyediakan perlindungan lebih selamat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk, menurut Bilik Operasi Pemerintah Palestin pada Ahad (28 Dis).

Dalam kenyataannya, bilik operasi itu memaklumkan bahawa ribut yang melanda ketika ini telah menenggelamkan dan memusnahkan ribuan khemah di seluruh Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut bilik operasi itu lagi, Al-Rasheed Coastal Street sepanjang kira-kira 26 kilometer telah dinaiki air menyebabkan kerosakan pada khemah-khemah yang didirikan di sepanjang laluan berkenaan akibat ombak laut yang tinggi menyusuli ribut tersebut.

Ia menegaskan bahawa cuaca buruk telah memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin yang tinggal di khemah-khemah yang hanya memberikan perlindungan minimum daripada hujan dan cuaca sejuk melampau.

Rumah-rumah yang rosak sebahagiannya turut runtuh, sekali gus mengancam nyawa para penduduk, di tengah-tengah ketiadaan pilihan perlindungan yang selamat.

Menurut bilik operasi itu selanjutnya, pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan kini berdepan kesukaran memenuhi keperluan mendesak penduduk yang kehilangan tempat tinggal berikutan kekurangan bekalan yang meruncing serta sekatan berterusan oleh Israel terhadap kemasukan bantuan ke Carikan Gaza.

Bilik operasi itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa agar memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan kemasukan segera rumah pasang siap dan bekalan perlindungan lain bagi meringankan penderitaan penduduk serta mengurangkan risiko ancaman nyawa yang mereka hadapi.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita