Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gas pemedih mata punca tragedi Stadium Kanjuruhan tercetus

Anggaran Waktu Membaca:
Gas pemedih mata punca tragedi Stadium Kanjuruhan tercetus

(Gambar: STR/AFP)

Diterbitkan : 15 Oct 2022 07:27AM Dikemas Kini : 15 Oct 2022 07:48AM

JAKARTA: Punca utama tragedi Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, pada 1 Oktober lalu - yang meragut 132 nyawa - disebabkan oleh gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai, kata Menteri Kanan Indonesia.

Laporan tragedi oleh jawatankuasa khas diketuai Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan Mahfud MD sudahpun diserahkan kepada Presiden Joko Widodo pada Jumaat (14 Okt). 

Dalam satu sidang media, Encik Mahfud berkata laporan setebal 124 muka surat, yang mengandungi perincian mengenai penemuan dan cadangan, turut mendapati bahawa Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) harus bertanggungjawab sepenuhnya.

"Lembaga eksekutif PSSI dan sub-organisasinya mesti bertanggungjawab," kata Encik Mahfud sambil menambah bahawa polis mesti terus menjalankan siasatan terhadap tragedi itu.

Semasa perlawanan 'East Java Derby' antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya, tuan rumah tewas buat kali pertama di laman sendiri dalam tempoh 23 tahun. Ini sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong.

Selepas perlawanan tamat, penyokong yang berang memasuki padang untuk berdepan dengan pemain dan pegawai pasukan. 

Situasi bertukar tegang, memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan beribu-ribu penyokong berasak-asak untuk keluar dari stadium melalui beberapa pintu pagar sehingga menyebabkan rempuhan.

Seramai 132 orang maut manakala 622 cedera dalam tragedi itu, memetik angka terkini yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Malang. 

Menyusuli insiden itu, Arema FC didenda RM76,124 (S$23,120) oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia manakala Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sembilan lagi anggota. 

Pada 7 Oktober, polis mengumumkan enam individu, terdiri daripada tiga ahli jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis, akan didakwa atas kesalahan jenayah.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam Basuki Hadimuljono berkata kementerian akan memulakan proses menaik taraf stadium tersebut pada tahun depan.

Pasukan penilai teknikal kementerian mencadangkan tujuh aspek perlu ditambah baik iaitu pintu stadium, pintu kecemasan, lampu, tandas, pagar dan pekarangan bangunan utama.

Reka bentuk baru stadium itu akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan, termasuk tugu yang akan turut dibina bagi memperingati mangsa tragedi berkenaan. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan