Skip to main content

Dunia

Garis masa haramkan vape di Malaysia akan dibentang kepada Kabinet

Anggaran Waktu Membaca:
Garis masa haramkan vape di Malaysia akan dibentang kepada Kabinet
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar fail: BERNAMA)
Diterbitkan : 02 Aug 2025 07:05AM Dikemas Kini : 02 Aug 2025 08:31AM
  • Garis masa yang sesuai untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Malaysia.
  • Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia akan dinilai secara terperinci dengan mendapatkan pandangan atau cadangan daripada para pakar berkaitan sebelum langkah selanjutnya diambil.
  • Dr Dzulkefly berkata, pengharaman sepenuhnya penggunaan vape memerlukan masa dan ia perlu dilaksanakan secara teliti, dan bukannya tergopoh-gapah.
  • Beliau menambah, kerajaan amat komited dalam usaha melindungi kesihatan awam terutama golongan kanak-kanak dan remaja yang semakin terdedah kepada penggunaan vape.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Garis masa yang sesuai untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Malaysia.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia akan dinilai secara terperinci dengan mendapatkan pandangan atau cadangan daripada para pakar berkaitan sebelum langkah selanjutnya diambil.

"Kita akan terus menilai dan bila pakar cadangkan kepada kementerian dan menteri, maka saya akan bentangkan kepada Kabinet," katanya semasa sidang media selepas Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) Peringkat Kebangsaan pada Jumaat (1 Ogos).

Dr Dzulkefly berkata, pengharaman sepenuhnya penggunaan vape memerlukan masa dan ia perlu dilaksanakan secara teliti, dan bukannya tergopoh-gapah.

Jelasnya, perkara itu perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti kesan perundangan dan kesihatan awam.

Beliau menambah, kerajaan amat komited dalam usaha melindungi kesihatan awam terutama golongan kanak-kanak dan remaja yang semakin terdedah kepada penggunaan vape.

“Bukan soal jika, tetapi soal bila. Kita sudah ada peruntukan undang-undang melalui Akta 852.

"Namun untuk mengharamkan keseluruhan penggunaan vape termasuk sistem terbuka, kita perlukan dapatan saintifik, penilaian teknikal dan justifikasi dari pelbagai sudut.

“Selalu saya tegaskan bahawa kita tidak terburu-buru, tetapi bertindak secara berhemah dan berlandaskan bukti,” ujarnya lagi.
Sumber : Agensi berita/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita