Skip to main content

Dunia

Gara-gara rakan bergurau main api, remaja rentung dalam tandas terbiar di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA SELANGOR: Niat dua remaja bergurau ketika bermain api di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 Kuala Selangor membawa padah apabila tindakan itu meragut nyawa rakan mereka pada petang Ahad (28 Ogos).

Mangsa yang berusia 16 tahun ditemui rentung selepas kebakaran tandas terbiar itu dipadamkan pihak bomba, menurut BH Online.

Kejadian berlaku ketika tiga remaja terbabit dikatakan sedang melepak sambil bermain permainan video telefon bimbit di dalam tandas terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan sedang tidur di atas sofa di hadapan pintu tandas sebelum rakannya menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau, lapor BH Online.

"Selepas asap tebal dan api makin besar, dua rakan mangsa lari ke luar tandas.

"Mangsa yang tersedar dari tidur dan keadaannya separa sedar bagaimanapun melarikan diri ke dalam tandas," katanya.

Mengulas kebakaran berkenaan, katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.35 petang sebelum sepasukan sepuluh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota bomba segera melakukan pemadaman selama kira-kira lima minit dengan anggaran kemusnahan kira-kira 20 peratus.

"Hasil pemeriksaan menemui seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lengkap berpakaian dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi," katanya ketika dihubungi BH Online.

Encik Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih disiasat," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita