Gara-gara nasi lemak, pemandu gaduh hingga tular di internet
Gara-gara gagal membayar hidangan nasi lemak yang dimakan di kawasan Rehat dan Rekreasi (R&R) Gambang di Lebuhraya Pantai Timur pada Isnin (24 Dis), seorang pemandu bas bergaduh sehingga menjadi tular di media sosial.

(Gambar hiasan: Reuters)
KUANTAN: Gara-gara gagal membayar hidangan nasi lemak yang dimakan di kawasan Rehat dan Rekreasi (R&R) Gambang di Lebuhraya Pantai Timur pada Isnin (24 Dis), seorang pemandu bas bergaduh sehingga menjadi tular di media sosial.
Dalam satu rakaman video satu minit dan 49 saat, beberapa pekerja R&R dilihat bergaduh dengan pemandu bas berusia 32 tahun itu berhampiran tempat letak kereta kawasan tersebut.
Pergaduhan itu tercetus apabila pemandu terlibat memilih untuk hanya membayar RM1 (S$0.33) bagi nasi lemak yang dijual pada harga RM2 (S$0.66) di salah satu gerai di sana.
Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Noor Yusof Ali, berkata siasatan mendapati nasi lemak yang biasanya dijual pada harga RM3 (S$0.98), ditawarkan kepada para pemandu bas dan lori, serta pelanggan tetap, dengan harga diskaun RM2 (S$0.66)setiap satu.
Encik Mohamad Noor berkata pemandu bas itu bagaimanapun memilih untuk membayar hanya RM1 (S$0.33). Ini menimbulkan kemarahan pegerai lalu membawa kepada pertelingkahan.
Klip video itu menunjukkan pemandu bas yang dikerumuni oleh beberapa orang dipukul dan ditendang selepas mereka mendakwa bahawa pemandu berkenaan terlebih dahulu memukul seorang pelayan di R&R itu yang cuba meminta bayaran bagi nasi lemak tersebut.
Encik Mohamad Noor berkata sebelum berlaku pergaduhan, pelayan itu mendakwa pemandu tersebut menuntut duit baki selepas membuat pembayaran.
Pemandu terbabit kemudian menyerang pelayan itu dengan cuba mencekiknya.
"Polis menahan pemandu bas di balai polis daerah apabila beliau tiba kira-kira pukul 1.15 pagi untuk memberikan keterangan. Enam orang lain yang berusia antara 32 dan 44 tahun ditahan di Kuantan dan Maran untuk membantu siasatan.
"Kesemua tujuh lelaki ditahan reman sehingga Sabtu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.