Gara-gara mabuk, pakar anestesia tanggung padah pesakit mati semasa pembedahan Caesarean
Seorang pakar anestesia dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Perancis pada Khamis (12 Nov) kerana mabuk semasa bertugas sehingga menyebabkan kematian seorang wanita yang menjalani pembedahan kecemasan Caesarean.
Gambar fail pembedahan Caesarean. (Gambar: Amit Gaur/Unsplash)
PAU: Seorang pakar anestesia dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Perancis pada Khamis (12 Nov) kerana mabuk semasa bertugas sehingga menyebabkan kematian seorang wanita yang menjalani pembedahan kecemasan Caesarean.
Helga Wauters, 51 tahun, didakwa bersalah atas kematian Xynthia Hawke pada 2014. Mangsa meninggal dunia empat hari setelah menjalani prosedur 'huru-hara' yang menyekat bekalan oksigen ke bahagian otak, sehingga beliau terkena serangan jantung.
Wauters turut diharamkan daripada menyediakan khidmat perubatan.
Kandungan mangsa difahamkan melepasi tarikh bersalin semasa beliau dimasukkan ke wad bersalin di sebuah hospital pada 26 September 2014.
Wanita itu malangnya tidak berpeluang untuk melihat anak lelakinya selamat dilahirkan.
Siasatan mendapati Wauters, yang baru mula bertugas selama kurang dua minggu, salah memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pencernaan mangsa sebelum pembedahan Caesarean. Tiub tersebut seharusnya dimasukkan ke dalam saluran udara pesakit.
Apabila paras oksigen mangsa jatuh mendadak, Wauters sekadar memasang pelitup oksigen pada pesakit, walhal dia sepatutnya menggunakan ventilator. Wauters mendakwa, dia berbuat demikian kerana tidak tahu menggunakan ventilator, kata saksi.
"Saya kini menanggung padah akibat ketagihan saya," kata Wauters kepada mahkamah pada Oktober, sambil menambah, "Saya akan menyesali kematian ini seumur hidup saya."
Pakar anestesia ,Helga Wauters, mengaku dalam keadaan mabuk semasa bertugas. (Gambar: Gaizka Iroz/AFP)
Namun, dia nafi menjadi satu-satunya pihak yang bertanggungjawab atas kematian Cik Hawke. Wauters berkata kakitangan lain juga bersalah dan ventilator semasa kejadian memang rosak - satu dakwaan yang kemudian terbukti palsu.
Wauters difahamkan memberi mangsa suntikan epidura di peringkat awal insiden. Semasa bersalin, pesakit mengalami komplikasi lalu perlu segera menjalani pembedahan kecemasan Caesarean.
Apabila Wauters memasuki wad bersalin untuk memberi pesakit bius, ada bau arak pada nafasnya, kata para saksi.
Mangsa terjaga semasa menjalani pembedahan dan mula muntah-muntah, mengerang kesakitan sebelum menarik tiub-tiub pernafasannya.
Mahkamah pada Khamis (12 Nov) turut mengarahkan Wauters supaya membayar hampir €1.4 juta (S$2.23 juta) kepada keluarga dan anak mangsa yang kini berusia enam tahun.
Wauters berpindah ke Perancis untuk bekerja selepas dipecat oleh dua hospital Belgium kerana datang ke tempat kerja dalam keadaan mabuk.
Dokumen mahkamah menunjukkan, dia menyerlah sebagai seorang siswa perubatan tetapi tertekan selepas mengalami masalah hubungan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.