Gara-gara kerusi ditarik rakan, budak 12 tahun ini menderita sakit tulang belakang
Gambar: @azera5276/TikTok
Kejadian yang menimpa murid sekolah rendah itu dikongsikan oleh ibunya, Azera Yazid, 36 tahun, menerusi akaun TikToknya, @azera5276.
Menurut perkongsian tersebut, kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah selepas insiden yang berlaku pada tahun lalu itu, turut memberi kesan kepada perkembangan anaknya.
Cik Azera berkata, keadaan anaknya, Puteri Nor Atiqah atau dipanggil sebagai Kak Iqa kini masih lagi perlu menjalani rawatan dan selalu dimasukkan ke dalam wad sekiranya diperlukan, menurut Sinar Harian.
“Disebabkan jatuh tempoh hari, Kak Iqa mengalami patah tulang coccyx, ‘disc bulge’ dan ‘bone bruise’.
“Keadaan Kak Iqa sekarang ini masih lagi memerlukan rawatan dan dia juga ada gangguan emosi, maksudnya kesan trauma itu masih ada.
"Dia trauma akibat insiden itu, sebab dia jadi takut untuk bertemu dengan orang lain.
“Hubungan Kak Iqa dengan adik beradik sekarang pun sudah kurang, dia banyak duduk dalam bilik dia sendiri sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat (2 Ogos).
Dalam pada itu, ujar Cik Azera, dia berharap agar keadaan kesihatan anak sulungnya itu bertambah baik dan dapat pulih sepenuhnya.
“Buat masa sekarang, kes ini sedang berjalan di mahkamah.
“Saya harap dia makin okay tetapi yang paling penting adalah emosi dia. Sebab harap dia dapat tenangkan dirinya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.