Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gara-gara hina Agong & Muhyiddin, ibu tunggal didenda RM10,000

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara hina Agong & Muhyiddin, ibu tunggal didenda RM10,000

(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM10,000 (S$3,242) oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini (21 Dis) kerana membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dalam blog MalaysiaFlipFlop.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lai Yuet Ming, 65 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu pada 6 Dis lalu.

Lai didenda RM6,000 (S$1,945) atau enam bulan penjara bagi pertuduhan membuat penghantaran tersebut terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala denda RM4,000 (S$1,297) atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Encik Muhyiddin.

Wanita itu didakwa membuat kenyataan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam blog MalaysiaFlipFlop pada 21 Mac 2020, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Atas perbuatan itu, pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lai juga didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik terhadap perdana menteri ketika itu, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui blog yang sama pada 23 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 (S$19,213) atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 (S$324) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Kedua-dua pautan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1.40 tengah hari 6 Mei 2020 dan pada 10.00 malam, 21 Mac 2020.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang manakala peguam Rajsurian Pillai mewakili Lai.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan