Gara-gara gula-gula, budak 4 tahun curi kereta moyang
Kanak-kanak biasanya akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gula-gula. Kanak-kanak lelaki dari Amerika Syarikat ini berbeza sama sekali sehinggakan dia berani mengambil langkah esktrem.
(Gambar: Mike Segar/Reuters)
MINNESOTA: Kanak-kanak biasanya akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gula-gula. Kanak-kanak lelaki dari Amerika Syarikat ini berbeza sama sekali sehinggakan dia berani mengambil langkah esktrem.
Anak lelaki Jenna Swenson, Sebastian, 4 tahun, mencuri kunci kereta moyangnya dan kemudian memandu kenderaan SUV itu sejauh lebih 1.6 kilometer ke sebuah stesen minyak semata-mata untuk membeli manisan kegemarannya.
Kanak-kanak berusia empat tahun itu bagaimanapun disambut oleh para pegawai polis, lapor Sky News.
Dalam wawancara bersama Fox News, Cik Swenson mengongsi pengalaman yang dilaluinya semasa berlaku insiden tersebut.
Beliau memberitahu Fox News: "Cemas, takut... setiap emosi dapat dirasai... saya hanya cuba memahami apa yang berlaku."
Mujur menurut laporan Sky News, tiada kecederaan dilaporkan tetapi beberapa peti surat di daerah Blaine di Minnesota mengalami kerosakan akibat insiden itu.
Pemandu cilik itu juga melanggar sebatang pokok, menyebabkan sebahagian bampar SUV itu tertanggal dan ditinggalkan di kebun jirannya.
Para saksi melaporkan mereka ternampak sebuah kenderaan SUV dipandu secara berbahaya dengan kelajuan sehingga 15 batu sejam sebelum berhenti di tempat letak kereta di sebuah stesen minyak.
"Saya tidak pernah melihat seorang pemandu muda sepertinya memandu sebuah kenderaan," kata Kapten Polis Blaine, Mark Boerboom, seperti dipetik oleh Sky News.
Moyang lelaki kanak-kanak itu, Roy Becker, berkata: "Ia mungkin lebih serius. Sebastian boleh melanggar sebuah kereta. Dia tidak memakai tali pinggang keledar. Ia soal hidup atau mati."
Menyusuli perbuatan Sebastian yang mengejutkan keluarganya itu, mereka kini akan menyimpan kunci kereta mereka dengan lebih berhati-hati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.